Pelakon jelita, Sarah Hildebrand mengumumkan bakal bernikah dengan jejaka pilihannya pada 3 November ini.
Pelakon drama Pujaan Hati Kanda ini akan bergelar isteri kepada jejaka kacukan Filipina-Amerika Otto Gillen selepas berkawan rapat selama lapan bulan.
Memetik laporan Harian Metro, pasangan ini berkenalan sejak bersekolah di Amerika dahulu.
“Saya bertemu semula dengannya ketika melawat bapa yang kurang sihat di Arkansas, Amerika Syarikat awal tahun ini.
“Namun, kami kembali berkawan rapat sejak Februari lalu selepas hubungan saya dengan bekas kekasih berakhir,” katanya.
Ditanya kenapa dia merahsiakan hubungan dengan Otto sebelum ini, Sarah berkata, dia tidak mahu menjaja kisah cintanya kerana bimbang kisah pahit berulang.
Majlis pernikahan Sarah dan Otto bakal berlangsung di masjid berhampiran kediaman keluarganya di Lembah Keramat.
Terdahulu, Sarah pernah menjalin hubungan dengan pengacara Nabil Mahir tetapi hubungan itu berakhir awal tahun ini selepas lima tahun bercinta.