“Saya Belum Puas Hati Seratus Peratus!” – Ernie Zakri

Minggu ke-6 pertandingan Mentor Milenia 2019 menyaksikan penyingkiran Bulan dari team Mentor Black kerana gagal berada di kedudukan selamat dan terpaksa bersaing dengan ahli kumpulannya sendiri, Aedy Kama di dalam pusingan penyingkiran. 

Minggu itu juga menyaksikan kedua-dua protege Ernie Zakri yang gagal memuaskan hati kedua-dua juri tetap, Altimet dan Datuk Syafinaz pada pusingan ‘battle’ di minggu ke-5 menunjukkan kebolehan sebenar mereka apabila lagu dendangan Daus Husny ‘Umpan Jinak Di Air Tenang’ nyanyian asal Ahmad Jais dan lagu Potret nyanyian Yazrul Arepp, dendangan asal Akim & The Majistret mendapat pujian dari kedua-dua juri. 

Walaupun berpuas hati dengan persembahan kedua-dua protegenya, Mentor Ernie Zakri percaya masih banyak yang perlu diperbaiki. 

” Memang saya tak nafikan setiap minggu, semua peserta bila berada di atas pentas ada perasaan gugup dan ini mengganggu persembahan mereka tapi ini semua akan menjadi pengalaman buat mereka.

”Minggu ini boleh nampak masing-masing dah mula rasa selesa untuk membuat persembahan di atas pentas Mentor. Walau bagaimanapun saya tak boleh kata saya betul-betul puas hati dengan persembahan protege-protege saya kerana kalau saya puas hati seratus peratus dengan mereka, maknanya mereka dah tak perlukan saya lagi dalam pertandingan ini,” ujar Ernie.

Minggu ini protege-protege akan digandingkan dengan penyanyi terkenal tanahair pilihan protege itu sendiri dan mereka akan berduet menyanyikan lagu di atas pentas Mentor Milenia.

“Banyak peningkatan yang saya sendiri nampak, terutama sekali Apex yang dah dua minggu menang.  Apabila kita bagi last minute task, Apex boleh buat. Sebab tu setiap minggu dia deserve to win. Saya kena jadikan cabaran itu satu semangat utk protege-protege saya,” kata Ernie lagi.

Adakah Apex akan mengekalkan takhta sebagai pemenang minggu ketujuh? Sama-sama kita saksikan Mentor Milenia 2019 hari ini Ahad, jam 9 malam! Jangan lupa undi ok??


Kredit Foto: Zek & Instagram @erniezakri

Del14