“Saya Kurang Minat Jadi Romantik” – Sharnaaz Ahmad Rela ‘Korbankan’ Jambang

Pelakon Sharnaaz Ahmad memberitahu tidak lagi berminat dan berasakan tidak sesuai untuk berlakon dan membawa watak romantik.

Memetik laporan Kosmo, pelakon berusia 37 tahun itu tidak menolak untuk terlibat dalam naskhah percintaan jika jalan ceritanya adalah berat dan mencabar.

“Saya masih dapat tawaran untuk berlakon dalam drama cinta. Tapi sebenarnya saya kurang berminat.

“Bukannya saya tidak mahu berlakon dalam drama bergenre romantik, cuma saya perlukan naskhah yang berat.

“Sekarang ini memang saya memilih. Kalau jalan ceritanya ringan, memaparkan kisah percintaan budak-budak, saya akan tolak,” katanya.

Menurut bapa kepada Jebat Jayden, faktor wajahnya yang disifatkan ‘keras’ antara faktor dirinya menolak daripada berlakon drama romantik serta memberi peluang kepada bakat-bakat baru.

“Stesen televisyen berilah peluang pada muka-muka baharu. Ramai pelakon yang bagus hari ini. Penonton pun suka muka yang masih ‘lembut’.

“Macam saya muka pun dah ‘keras’. Kepada pelakon senior, janganlah terasa apabila pelakon-pelakon baharu lebih mendapat perhatian pihak stesen televisyen,” jelasnya.

Disoal sama ada bersedia untuk mencukur jambang demi memenuhi tuntutan watak, Sharnaaz tidak kisah untuk mengorbankan jambangnya demi kerja.

“Jambang ini tak ada isu pun. Saya tidak kisah kalau terpaksa cukur jambang ini demi memenuhi tuntutan watak.

“Cuma buat masa sekarang saya masih kekal dengan imej begini kerana masih memenuhi tuntutan watak,” ujarnya.

Maya Basir