“Saya Sanggup ‘Busking’ Di Jalanan” – Tak Ambil SPM, Ismail Izzani Salahkan Diri Sendiri Tinggalkan Pelajaran

Nama penyanyi dan pelakon Ismail Izzani sering terpalit dengan kontroversi panas namun penyanyi muda ini enggan mengubah satu persatu cerita tersebut dalam kamus hidupnya.

Menurut Ismail, sepak terajang yang dilaluinya banyak memberi pengajaran untuk bergelar anak seni.

“Saya bersyukur kerana pengalaman lalu banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar. Kalau ada peluang untuk patah balik masa, saya tak nak tukar apa-apa kejadian yang pernah berlaku dalam hidup saya kerana ia membentuk diri saya sekarang.

“Saya bermula dalam bidang ini seawal usia 16 tahun dan orang luar melihat segala proses saya membesar dan kehidupan yang saya lalui,” katanya.

Tambah pelantun lagu Demi Kita ini lagi, dia tidak mahu meletakkan kesalahan atas bahu sesiapa kerana memilih bidang itu hingga tidak ke sekolah dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebaliknya, pelantun lagu Luar Biasa ini menyalahkan diri sendiri.

“Atas sokongan ibu, saya juga sanggup ‘busking’ di luar sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur kerana muzik begitu dekat di hati saya dan tidak akan sesekali meninggalkan bidang yang saya cintai ini. Saya sanggup berdepan apa saja kecaman kerana inilah kenangan yang berharga untuk diri saya.

“Kalau orang nak benci sekali pun, sampai tahap mana mereka nak benci. Ada je orang yang mahu bergambar sehingga terdetik di hati mungkin mereka dalang di sebalik komen kecaman yang ditinggalkan.

“Apapun saya tak ambil peduli sebab saya berdiri hari ini sebab muzik dan banyak lagi perkara yang saya nak teroka,” katanya.

Ujar anak kepada penyanyi Datin Suliza Salam ini, dia enggan lagi menoleh ke belakang dek kerana cerita panas yang menghambat dirinya sebaliknya terus melangkah ke hadapan.

“Nak kata kurangkan kontroversi pada masa akan datang pun tak boleh juga sebab bukan saya yang minta. Kalau benda nak jadi, dia jadi dan saya tak boleh lari. Sekarang semua benda di hujung jari dan orang boleh berada di mana-mana.

“Inilah kehidupan yang saya pilih dan kalau benda nak jadi kepada saya, apa boleh saya buat. Takkan saya nak menangis atau tertekan walaupun semua itu saya lalui ketika itu, tapi saya sentiasa mengingatkan diri untuk bangun dan terus pandang ke depan.

“Bagaimanapun saya sentiasa berharap agar dapat kurangkan kontroversi kerana apa yang saya lalui selama ini sangat berat dan masih berjuang. Saya tak nak janji apa-apa tapi akan cuba menjadi lebih baik,” katanya.

Ismail ditemui di sidang media Konsert Patah Hati 2.0 di Z Botanica, 1 Utama, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Patah Hati Ada Sekuel! Bakal Diadakan 23 November Ini, Tampilkan Bunkface, Ismail Izzani, Nadeera, Neeta, Aisha Retno & Naim Daniel

Bakal beraksi di acara terbabit, bintang lain yang menjayakan Konsert Patah Hati 2.0 ialah Bunkface, Naim Daniel, Neeta, Aisha Retno dan Nadeera.

Konsert tersebut akan diadakan pada 23 November dan tiket boleh dibeli di laman sesawang www.ticket2u.com.my

Khairil Khusyairi