‘Saya Tahu Ayah Layak’- Anak Allahyarham Pitt Hanif Buat Penonton Sebak

“Ayah layak menang trofi ini atas kreativitinya. Walaupun dia sudah tiada, saya tahu dia layak,” kata anak kepada pengarah, Allahyarham Pitt Hanif, Mhia Farhana mengulas kemenangan arwah bapanya menerusi filem One Two Jaga.

Menurut Mhia, dia mahu hadir ke acara Anugerah Skrin 2019 untuk membawa semangat arwah bapanya yang telah dijemput Illahi pada Sabtu lalu.

“Ini kemenangan pertama ayah. Ketika pertama kali saya dan adik-adik menonton filem ini, kami tahu satu hari nanti filem ini pasti akan berhasil.

“Ternyata jangkaan kami tidak salah. Sebagai anak, sudah tentu saya amat bangga sekali dengan kemenangan ini. Ini untuk ayah,” katanya.

Pengarah dan penulis skrip filem ini ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama rakan, Sham Mokhtar, terbalik ketika mereka memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis, Pahang, Sabtu lalu.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat Pitt jam 4.25 petang, Ahad lalu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat.

Pitt yang juga anak sulung daripada dua beradik meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia di antara tujuh hingga 16 tahun. 

Oleh: Delia

SGMS Faida