“Saya Terima Keputusan Dengan Hati Terbuka” – Ernie Zakri Anggap Karier Nyanyian Bukan Pertandingan, Mahu Lebih Kerja Keras

Penyanyi Ernie Zakri menerima keputusan Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) dengan hati yang terbuka selepas pulang tanpa sebarang trofi dalam acara yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Menerusi satu ciapan di Twitter, Ernie berterima kasih pada semua yang menyokong di pentas AJL kali ini malah menyatakan karier nyanyiannya adalah satu perjalanan bukan pertandingan.

“Saya berterima kasih pada semua. Saya baca semua. Alhamdulillah, saya terima setiap keputusan dengan hati terbuka.

“Karier muzik saya adalah sebuah perjalanan, bukan pertandingan. Saya rasa happy dapat bersama-sama dalam #AJL37. Terlalu banyak yang perlu saya belajar lagi,” tulisnya.

Dalam pada itu, Ernie seronok melihat finalis lain beraksi di pentas AJL sekali gus membuatkan dia ingin bekerja lebih keras pada tahun ini.

“Semua pemenang pada malam tersebut sememangnya layak berada dimana mereka berada, berkat usaha mereka.

“Saya seronok melihat semua membuat persembahan! Ini membuatkan saya nak berusaha lebih keras lagi, Insya-Allah. Terima kasih untuk doa-doa semua.

“Doakan perjalanan muzik Ernie Zakri pada 2023 dipermudahkan. Sayang semua,” harapnya.

Pada AJL 37, Ernie tampil memukau dengan karya Korban dengan penuh penghayatan sehingga membuat penonton kagum dengan pemenang vokal terbaik AJL 35 itu.

AJL 37 menyaksikan Terus Hidup nyanyian Aina Abdul dinobat Juara sekaligus merangkul trofi Vokal Terbaik pada edisi kali ini.

Khairil Khusyairi