Categories: HiburanSelebriti

Sebab Filem Hide & Seek, Miller Khan Mula Percaya Kewujudan Hantu?

Pelakon kelahiran Malaysia yang kini bermastautin di Indonesia, Miller Khan menceritakan pengalaman pelik ketika menjalani penggambaran filem seram Hide & Seek, tiga tahun lalu.

Kata Miller, dia mula mempercayai kewujudan hal berkaitan mistik selepas melihat dengan mata sendiri di set penggambaran.

“ Ini merupakan pengalaman kedua berlakon filem seram selepas Raso. Jika sebelum ini saya hanya mendengar kisah-kisah dari rakan, tetapi kali ini rasai sendiri.

“ Saya masih ingat sewaktu mengambil gambar di set. Bila gambar itu dinaikkan cahaya belakangnya, ternyata ada sesuatu yang meremang bulu roma bila melihatnya. 

“ Itu tidak termasuk dengan kejadian salah seorang kru dirasuk kuntilanak. Dia mengamuk dan membaling semua barang menyebabkan semua yang berada di situ ketakutan. 

“ Apabila saya masuk dan kami bertentang mata, dia terus diam melihat saya,” katanya ketika di tayangan filem seram itu di Kuala Lumpur, semalam.

Akui Miller, set penggambaran dilakukan di sebuah gudang lama yang berhabuk dan sudah lama ditinggalkan membangkitkan lebih aura seram.

“ Cabaran pada filem ini terletak pada waktu penggambaran. Kami bekerja dari tengah malam sehingga Subuh. Lelah tapi seronok,” katanya.

Filem yang ditayangkan di Indonesia pada 2017 itu bakal ditayangkan di Malaysia pada 28 Februari ini.

SGMS Faida