“Sebagai Public Figure, Kadangkala Mental Saya Koyak” – Misha Omar Pilih Privasi, Berhati-Hati Di Media Sosial

Penyanyi popular, Misha Omar, 41, mengaku lebih berhati-hati dalam membuat perkongsian di media sosial.

Menurutnya, tidak semua perkara boleh dikongsikan di laman sosial dek kerana interpretasi peminat berbeza.

Memetik laporan Gempak,  sebagai seorang public figure, Misha berkata,  adakalanya dirinya tidak kuat menerima kritikan peminat.

“Mana yang boleh saya diamkan, saya diam dan mana saya boleh kongsikan saya akan kongsi.

“Bagi saya sudah pasti apa yang dikongsikan di media sosial, akan menerima maklum balas dari peminat dan pasti ada yang positif mahupun yang negatif.

“Dan sebagai seorang manusia dan public figure, saya sendiri perlu ada awareness untuk itu. Untuk apa yang dikongsikan kepada orang luar.

“Saya tidak nafikan, adakalanya saya tidak kuat sehingga menganggu keadaan mental terhadap komen yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, pelantu lagu Bunga-Bunga Cinta ini juga menegaskan, segala kritikan dan kecaman yang diterimanya itu menjadikan dia kuat untuk maju ke hadapan.

Bahkan, menganggap industri seni kini sudah matang terhadap hak kebebasan bersuara.

“Ya, rasa sakit dikecam itu memang ada. namun tidaklah berlarutan kerana saya perlu  bangkit.

“Walaupun orang berhak berkata apa sahaja, akhirnya saya yang akan mengerti diri sendiri dan menghormati pendapat orang lain juga bukan bermaksud perlu menerima.

“Saya tidak perlu disayangi semua orang, segelintir sahaja sudah cukup,” jelasnya.

 

Sumber: Gempak

Salma Syahbuddin