Sebaknya! Gelagat Anak Bongsu Shuk Sahar Enggan Berpisah Buat Ramai Tersentuh

Pelakon dan pelawak, Shuk Sahar baru-baru ini ada berkongsi sepotong video pendek di TikTok miliknya memaparkan dia sedang memujuk anak bongsunya, Nur Assyifatu Aimi yang kelihatan sedang menangis dek kerana tidak mahu berpisah dengan bapanya.

Perkongsian video di platform berkenaan sekaligus membuatkan rata-rata pengikut Shuk berasa sebak melihat gelagat anak kecil itu yang mahu terus bermanja dengannya.

“Jumpa lagi Ain kondeng jaga diri elok-elok ye… Ayah sayang Ain dengan Aimy,” katanya.

Lebih menyayat hati, video berdurasi lebih satu minit itu menunjukkan Aimi meminta Shuk untuk sentiasa ada bersamanya.

“Tapi adik nak tidur dengan ayah… nak sekali dengan ayah, nak minta hantar dengan ayah,” tangisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut pelawak itu meluahkan rasa sebak mereka melihat perkongsian berkenaan.

Malah, ramai yang berharap agar Shuk dilimpahkan rezeki bagi memudahkannya untuk melawat anaknya yang kini sedang menetap di Sabah.

Untuk rekod, Shuk dan bekas isterinya, Rossa Sera berkahwin pada 2015 dan dikurniakan dengan dua orang cahaya mata perempuan, Nur Quratu Ain, 7 dan Nur Assyifatu Aimi, 4.

 

Salma Syahbuddin