Sedang Mengenali Hati Seorang Wanita Indonesia, Zarina Zainuddin Percaya Azal Mampu Jadi Suami Bertanggungjawab

Pelakon Zarina Zainuddin mengatakan tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu daripada melihat anak kesayangan bahagia dengan insan yang dicintai.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia menyifatkan anak istimewanya, Azal Azrai sebagai lelaki setia dan mampu menjadi suami yang bertanggungjawab.

“Sebagai ibu, saya memang harap nak tengok Azal kahwin, berumah tangga dan rasa bahagia dengan adanya isteri yang menjaga dan menyayanginya.

“Saya sangat yakin Azal mampu kerana dia bertanggungjawab. Macam mana dia dengan saya, jaga saya. Saya pergi mana-mana pun dia ikut. Dia seorang yang setia.

“Saya rasa bila dia dapat seorang wanita, seorang isteri, dia akan jaga dengan sangat baik sekali,” katanya.

Sementara itu, Zarina berharap Azal atau nama sebenar Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan dipertemukan dengan wanita yang menyayanginya dengan seikhlas hati.

“Saya harapkan adanya seorang wanita yang boleh berikan dia kasih sayang, jaga makan minum dan ikhlas menjaganya. Insya-Allah, semoga Allah permudahkan,” ujarnya.

Terdahulu, Zarina mendedahkan Azal sedang berkenalan dengan seorang wanita dari negara Indonesia yang dikenali sebagai Rahmah.

Mereka dikatakan mula rapat selepas sama-sama terlibat dengan beberapa ekspo perniagaan di Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: Dedah Azal Sedang Berkawan Rapat Dengan Seseorang, Zarina Zainuddin Doa Moga Anak Bertemu Jodoh

Maya Basir