Categories: Hiburan

“Sejujurnya, Tiada Apa-Apa Perasaan” – Shuib Rindukan Arwah Siti Sarah, Watie Hanifiah Bersyukur Tak Rasa Sedih Atau Cemburu

Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, Watie Hanifiah, 35, tidak cemburu atau mempunyai perasaan sedih apabila suaminya rindu atau terkenangkan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Menurut Watie, dia tidak cemburu memahami perasaan Shuib dan bersyukur kerana Allah tidak menimbulkan rasa terbabit dalam hatinya.

“Sebenarnya dan sejujurnya, saya tak mempunyai apa-apa perasaan. Saya tidak cemburu seperti contoh baru-baru ini kami bertemu dengan seorang kanak-kanak yang mempunyai wajah seiras arwah. Kadang-kadang pun saya tertanya, kenapa saya tak rasa apa-apa?

“Saya merasakan apa yang menggembirakan Shuib, jika dia rasa perkara itu boleh mengubati kerinduannya atau sebagainya, apa yang terbaik untuk suami, mesti saya akan sokong,” katanya kepada XTRA.

Watie ditemui usai acara zumba bersama Fasha Sandha di Kuala Lumpur anjuran Inayah Beauty pada Sabtu.

Watie terima dengan hati terbuka

Tambah pemilik nama penuh Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah ini, dia menerima dengan hati yang terbuka dan bersyukur kerana ramai yang mendoakan rumah tangganya bersama Shuib.

“Bagi saya, buat apa nak cemburu kepada orang yang telah tiada? Adanya saya di sini adalah kerana kisah mereka yang telah tiada. Saya menerima dengan hati terbuka. Kadang-kadang apabila saya sedang memandu kereta, terdetik dalam hati, syukurnya Allah tidak meletakkan rasa sedih atau cemburu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan Dayang Nurfaizah, Anak Gadis Menangis, Dewan Black Out 5 Kali… Ini Corat Coret Menarik Majlis Nikah Shuib & Watie

“Bagi saya, jika ada rasa cemburu atau sedih, ia lebih berat kepada diri kita kerana yang akan membawa rasa itu adalah diri kita sendiri. Bersyukur sangat Allah tak meletakkan rasa-rasa yang tak bagus itu dalam hati saya.

“Saya bersyukur kerana apabila saya baca komen sekarang, ramai yang mendoakan perkahwinan saya dan suami, mendoakan rumah tangga kami kekal hingga ke Jannah. Kita sendiri tak tahu doa siapa yang bakal diangkat, jadi apabila ramai orang yang mendoakan perkahwinan kami, saya gembira,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Talita Anak Shuib Menangis Selepas Bapa Bernikah Buat Netizen Sebak – “Ibu Sentiasa Tunggu Kamu Di Pintu Syurga”

Selepas mengikat tali pertunangan pada 6 Mei 2023, Watie sah bergelar isteri kepada penyampai radio Suria FM itu pada 23 Jun lalu.

Hasil perkahwinan bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib dikurniakan empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia dua tahun.

Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Padin