Categories: SelebritiTrending

“Ia Memang Memeritkan” – Serik Terkena Buatan Orang Namun Shila Amzah Tak Patah Semangat Sertai Pertandingan Nyanyian

Penyanyi popular Shila Amzah mengakui berasa risau apabila pernah berdepan dengan buatan orang sewaktu menyertai sebuah pertandingan nyanyian tahun lepas.

Namun begitu, pengalaman perit tersebut tidak menjadi penghalang kepada Shila untuk menyertai program realiti Famili Duo tahun ini.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Shila menyatakan itu kali pertama dia mengalami perkara mistik sebegitu.

“Saya tak dapat nak kongsikan secara khusus tentang apa yang berlaku dan saya tak boleh nak jelaskan siapa disebalik perbuatan itu kerana jujur saya tak tahu.

“Tapi sepanjang berada dalam industri seni, itulah kali pertama saya menghadapinya. Ia memang memeritkan.

“Saya tahu setiap pertandingan pasti ada elemen-elemen mistik sebegini. Perasaan takut memang ada. Saya hanya mampu berdoa, semoga dilindungi dan mudah-mudahan perkara begini tidak lagi berlaku kepada saya,” katanya.

Untuk makluman, Shila dan adik lelakinya, Syahir bakal bergandingan sebagai duo adik beradik dalam program nyanyian Famili Duo musim ke-3 yang bakal bersiaran secara langsung dari Glenmarie, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 mulai 15 Oktober 2023.

Sumber: Utusan Malaysia

Atiqah Johari