Categories: SelebritiTrending

“Saya Boleh Bergerak Tapi Sukar” – Isma Aliff Perlu Urutan Terapi Untuk Pulihkan Angin Ahmar

Artis versatil era 80-an, Isma Aliff sudah dibenarkan keluar dari Hospital Ampang pada Jumaat lalu dan kini berada di rumah ibunya yang terletak di Ampang Jaya.

Memetik laporan Harian Metro, Isma dan ibunya yang turut terlantar sakit menerima dua katil sumbangan daripada sebuah masjid dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Kongsi Isma kepada wartawan Harian Metro, dia masih belum boleh makan seperti biasa dan hanya bergantung kepada susu yang disalurkan menerusi tiub.

“Saya belum boleh makan nasi dan hanya bergantung kepada susu khas yang berharga lebih RM100. Jadi, tenaga saya masih belum ada.

“Selain itu, saya kena buat urutan terapi untuk pulihkan strok. Saya boleh bergerak tapi agak sukar juga dalam keadaan sekarang.

“Saya dah mulakan urutan secara ringan. Insya Allah dengan urutan dan akupuntur mungkin keadaan saya akan bertambah baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, adik Isma iaitu Shamsidah Ismail memaklumkan bahawa dia individu yang bertanggungjawab menguruskan abang dan ibunya termasuk menukar lampin setiap hari.

“Segala-galanya saya buat. Kadang-kadang kalau saya tak sempat, jiran akan datang bantu tengokkan,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Isma dilaporkan kritikal akibat jangkitan pada jantung dan paru-parunya sehingga terpaksa ditidurkan.

Kemudian, dia tiba-tiba diserang angin ahmar selepas mengadu sakit kepala dan badan berasa kebas.

Artikel Berkaitan: Alami Jangkitan Jantung & Paru-Paru, Isma Aliff Terpaksa Ditidurkan

Sumber & Kredit Foto: Harian Metro

Atiqah Johari