Hiburan By: SGMS Faida May 24, 2019 @ 3:40pm

Selena Gomez Anti Media Sosial?

Ikon pop dan aktres dari Amerika Syarikat, Selena Gomez, memberi amaran pada Rabu bahawa media sosial ‘teruk betul’ bagi generasinya, dan berkata dia cuba memberi contoh yang baik kepada 150 juta pengikutnya dalam Instagram.

Bercakap selepas pembukaan filem zombinya yang sarat dengan politik arahan Jim Jarmusch ‘The Dead Don’t Die’ di Festival Filem Cannes kelmarin, Gomez berkata alat yang membantu menjadikannya terkenal boleh menyebabkan kemusnahan dalam tangan yang salah.

“Saya rasa dunia kita jelas sedang mengalami banyak perkara. Apa yang dirujuk oleh Jim (Jarmusch) dalam filem itu ialah media sosial sesungguhnya teruk betul bagi generasi kami,” kata Gomez, 26, di satu sidang akhbar.

Dia membuat kenyataan itu ketika seorang remaja di Malaysia membunuh diri selepas dia memaparkan satu tinjauan dalam Instagram untuk bertanya sama ada dia harus hidup atau mati.

Remaja berusia 16 tahun dari Kuching, Sarawak itu mati selepas dia memaparkan tinjauan tersebut pada Isnin dalam platform milik Facebook itu.

Gomez juga memberi amaran tentang berita palsu yang berleluasa dalam media sosial.

“Saya faham bahawa ia menakjubkan untuk menggunakan platform anda tetapi ia menakutkan saya apabila kita melihat betapa terdedahnya remaja-remaja perempuan dan lelaki ini,” katanya.

“Mereka tidak tahu tentang berita. Saya rasa ia pasti berbahaya jika orang kadang-kadang tidak menerima maklumat yang betul.”

Gomez berkata pembulian internet yang berleluasa “menakutkan saya” dan menyebabkan ramai orang muda “binasa”.

Mengambil kira penampilannya sendiri yang begitu besar sekali dalam media sosial, Gomez ditanya apa yang dapat dibuat oleh selebriti dan syarikat terbesar dalam industri itu untuk menjadikan dunia dalam talian kurang toksik.

Dia meletakkan gambaran yang suram di hadapan rakan-rakan pelakon lain, Adam Driver, Bill Murray, Chloe Sevigny dan Tilda Swinton.

“Saya rasa ia agak mustahil untuk menjadikannya selamat pada ketika ini. Tiada sekatan ke atas apa-apa, mereka terdedah kepadanya serta-merta,” katanya.

Gomez berkata dia “bersyukur” kerana “mempunyai platform” dan cuba menggunakannya untuk “berkongsi benda yang saya benar-benar amat mengambil berat”.

“Saya juga tidak membuat banyak filem yang tidak bermakna. Saya mahu ada tujuan dengannya,” katanya.

Mengenai penggunaan internet oleh dirinya sendiri, Gomez berkata kurang adalah lebih.

“Ia boleh jadi hebat dalam beberapa saat tetapi saya akan berhati-hati dan memberi diri saya beberapa had masa apabila kita menggunakannya dan bila kita tidak harus menggunakannya.”

Filem Jarmusch, yang memberi penghormatan kepada filem-filem raksasa George Romero yang popular pada tahun 1960an dan 70an, menceritakan sebuah bandar kecil di Amerika dalam era Trump yang menghadapi serangan zombi yang makan daging manusia, termasuk satu yang dilakonkan oleh rakan Jarmusch, Iggy Pop.

Serangan itu dicetuskan oleh ‘polar fracking’ yang menurut saintis telah “mengetuk Bumi dari paksinya”, walaupun setiausaha tenaga kerajaan dan syarikat korporat gas besar mendakwa ia adalah selamat.

Gomez berlakon sebagai seorang “hipster kota besar” yang melawat bandar kecil yang menjadi mangsa serangan hendap zombi, yang meratapi keselesaan yang mereka idamkan dalam hidup termasuk ‘wifi’, ‘Xanax’ dan ‘chardonnay’. — AFP

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Hiburan Wed, 30 May 2018

Semarak Syawal Dengan Program Terhebat!

Selaku platform nombor satu pilihan Malaysia, MPTN komited dalam memastikan kualiti program hiburan dan kekeluargaan sepanjang perayaan ini memuaskan hati ramai.

Hiburan Wed, 6 Sep 2023
Hiburan Mon, 29 Aug 2022
Hiburan Wed, 12 Oct 2022
Hiburan Thu, 8 Aug 2019

It’s A Boy…Tahniah Shima Anuar Timang Anak Kedua!

Alhamdulillah…tahniah Shima Anuar & suami!

Hiburan Wed, 27 Mar 2024
Hiburan Sat, 14 Sep 2019

Airmata Gembira Iringi Pernikahan Rizman

Semoga kekal hingga ke Jannah!