“Semangat Makin Merudum” – Suara Hilang, Leher Membengkak… Ibnor Riza Alami 6 Penyakit Kronik Serentak

Penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, dimaklumkan sedang mengalami masalah leher membengkak, hilang suara, kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol kritikal.

Berdepan dengan masalah kesihatan serentak sebegini membuatkan kerjaya nyanyiannya terganggu.

Memetik laporan Harian Metro, Ibnor memaklumkan bahawa dia mengalami masalah hilang suara dan lehernya membengkak sejak tiga bulan lalu.

Tambah, ketika berjumpa dengan doktor pakar dua minggu lalu dia diberitahu bahawa ada sel mati yang membentuk nanah di dalamnya.

“Saya nak buat pembedahan dan kena ambil darah. Rupa-rupanya saya ada masalah kencing manis, darah tinggi, migrain dan kolesterol tahap kritikal.

“Namun, saya bersyukur buah pinggang dan jantung okey. Mula-mula bacaan gula dalam darah ialah 22. Sekarang menurun kepada 11.9,” jelasnya.

Pelantun lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu turut berkongsi dia terpaksa menolak undangan untuk menyanyi kerana kehilangan suara.

Tambahnya, gara-gara mengalami masalah kesihatan ini dia hilang pendapatan sejak tiga bulan lalu malah terbeban dengan kos perubatannya.

“Batuk tiada dan sakit tekak pun tiada tetapi suara dah macam bunyi itik. Jadinya tiga bulan saya tiada pendapatan. Memang saya sangat terkesan dengan kos perubatan yang dikeluarkan dan segala perbelanjaan lain.

“Perkara ini buat semangat saya makin merudum kerana saya adalah ketua keluarga dan semuanya dalam tanggungjawab saya,” luahnya lagi.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari