SFMM37: Bawakan 2 Lagu, Amir Masdi Letak Harapan Layak Ke AJL

Penyanyi Amir Masdi, 26, meluahkan rasa teruja apabila dua karya lagunya layak ke pusingan Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37).

Mempertaruhkan Esok dan Debu yang bergandingan dengan Dayang Nurfaizah seakan memberikan harapan kepadanya untuk sama-sama berentap di Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) buat kali kedua dalam karier nyanyiannya.

“Takut, nervous, tapi lebih kepada teruja dan saya rasa tak percaya bila dapat tengok nama dan lagu sendiri. Saya rasa bangga dan teruja.

“Kedua-dua lagu mempunyai kekuatan berbeza, bagi saya lagu Esok kekuatannya pada lirik dan lagu Debu pula lebih kepada arrangement.

“Melihat kepada senarai lagu yang layak, kebanyakkan yang bertanding sudah mempunyai pengalaman bertanding di pentas AJL, vokal pun semuanya unik selain kita ada penyanyi baharu yang berpotensi besar dan penyanyi senior yang relevan.

“Saya juga terkejut apabila lagu Debu layak bertanding, dengan semangat peminat yang sentiasa mengundi itu memainkan peranan yang besar untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

Bakal bergandingan dengan Dayang Nurfaizah, Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi akui dia dan Dayang mempunyai chemistry bagi wujudkan harmoni menerusi lagu Debu.

“Saya sangat bertuah dapat peluang untuk berduet dengan Dayang Nurfaizah, mungkin daripada situ juga saya dapat pengalaman daripada mereka.

“Saya rasa teruja sebenarnya sebab dapat bekerja dengan Dayang Nurfaizah, dia seorang yang humble dan sangat terbuka untuk sebarang pendapat, jadi tekanan itu kurang sikit.

“Tekanan untuk naik ke pentas itu ada, tapi bersama Dayang saya rasa ada aura positif dan bersemangat.

“Sebagai penyanyi, kami juga ada buat latihan juga ketika berjumpa dan bertolak ansur untuk lagu Debu supaya kelihatan harmoni di pentas. Saya dan Dayang sama-sama nyanyi sedap dan kami dapat rasakan chemistry dan emosi itu sehaluan,” jelas Amir

Disoal mengenai persediaan yang bakal dilakukan, pelantun lagu Esok ini memberitahu dia mahu fizikalnya kekal aktif selain penghayatan lirik yang lebih mendalam.

“Saya belum mulakan lagi tapi dalam perancangan saya, saya mahukan AJL kalini betul-betul fit badan dan stamina dan pemahaman lirik lagu juga saya perlu dalami dengan lebih lagi.

“Mungkin saya akan dapat khidmat nasihat daripada pakar-pakar muzik untuk persembahan saya nanti,” ujarnya.

Jelas Amir lagi, dia menaruh harapan tinggi karya yang dihasilkannya dipertandingkan pada pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk edisi kali ini.

“Sudah tentu, sebagai penyanyi dan juga komposer saya mempunyai harapan untuk ke AJL, tipulah kalau hanya sekadar di Separuh Akhir.

“Saya akan letak harapan tetapi tidaklah tinggi menggunung. Saya harap kedua-dua lagu layak ke pentas AJL dengan syarat saya dan juga team dapat memberikan yang terbaik.

“Apa pun nyanyian itu kena sedap, tinggi atau tak, yang penting sedap,” katanya ketika ditemui XTRA.

Nama Amir juga pernah menjadi fenomena apabila berjaya menempatkan diri sebagai finalis AJL35 menerusi lagu Kau Sakiti sehingga membuka mata ramai pihak.

Amir ditemui pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik 37  (SFMM37) yang diadakan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre, Bandar Utama, baru-baru ini.

Separuh Akhir Muzik Muzik 37 akan dikendalikan oleh Muaz Mohamed dan Izzue Islam, bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada 25 November 2022 (pukul 3.00 petang – 6.00 petang) dan 26 November 2022 (pukul 3.00 petang – 5.30 petang) di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.

Khairil Khusyairi