Categories: HiburanTrending

#SFMM38: Takkan Bertanding Di Hari Ketiga, Lagu Budi – Sufian Suhaimi, Kmy Kmo & Luca Sickta Tarik Diri?

Penyanyi Sufian Suhaimi dan Luca Sickta mengesahkan tidak akan bertanding di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38).

Sufian dan Luca sepatutnya membawakan lagu Budi yang dinyanyikan bersama Kmy Kmo di hari ketiga persaingan SFMM38 yang bakal berlangsung petang ini.

Khabar tersebut diberitahu menerusi kemas kini Instagram Story (IGs) milik mereka beberapa jam yang lepas.

“Assalamualaikum. Berat hati saya ingin memaklumkan lagu Budi tak akan bertanding di semi final Muzik Muzik kali ini,” tulis Sufian.

Menzahirkan rasa berat hari, Sufian mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang tidak henti memberikan sokongan sehinggalah lagu tersebut bolos ke pentas SMFF38.

“Terima kasih buat semua yang mengundi dan memberikan sokongan buat lagu Budi. Tahniah dan selamat maju jaya buat
rakan-rakan yang bertanding,” tulis Sufian lagi.

Dalam pada itu, Luca turut memaklumkan mereka mempunyai alasan tertentu untuk tidak mempertaruhkan lagu tersebut di pentas SFMM38.

Dia bagaimanapun amat menghargai peminat yang menyokong karya berunsurkan etnik dan rap tersebut dan mengatakan rezeki mungkin berada di tempat yang lain.

“Kami amat menghargai peminat lagu Budi, malangnya kami tidak boleh teruskan ke pentas itu atas sebab tertentu. Mungkin rezeki di pentas yang lain.

“Jangan biar gemala membelit jiwa sampai ke mati,” luahnya.

Sementara itu, menerusi pemerhatian XTRA, Kmy tidak memuat naik sebarang kenyataan di Instagram miliknya berhubung perkara ini.

Sebanyak lapan buah lagu lain turut dipertandingkan pada hari ketiga SFMM38.

SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fizza Frizzy akan bersiaran secara langsung pada 15, 16 dan 17 Disember ini jam 3.00 petang hingga 5.00 petang di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.

SFMM38 turut menyaksikan 30 karya lagu bakal merebut 12 tempat ke AJL 38 yang bakal diadakan pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Syamir Shafie