Susulan pernah memberi amaran kepada pelakon Sharnaaz Ahmad supaya tidak masuk campur dan membuat ulasan mengenai filem The Original Gangster pada Mac lalu, Datuk Aaron Aziz sekali lagi menjadi bahan bualan dalam kalangan warganet.
Menerusi ciapan di Twitter milik @YM Ratu Kagura, dia melabel Aaron sebagai gangster Singapura tanda sokongannya kepada aktor berkenaan dek kerana berani memberi amaran secara terus kepada Sharnaaz.
“Aaron aziz sound Sharnaaz direct je. Aaron Aziz ni dulu memang betul gangster Singapore. Sorry la saya team abang Aaron. Dah tua pun wangi,” ciapnya.
Tidak berdiam diri dengan ciapan tersebut, pelakon yang popular menerusi filem Jebat itu tampil membalas ciapan berkenaan dengan meluahkan rasa terhibur apabila terdapat segelintir peminat Aaron yang menggelarnya sebagai gangster Singapura.
“Gangster Singapura ye… baik-baik,” selorohnya.
Terdahulu, Sharnaaz ada membuat satu ciapan di Twitter susulan konflik yang melibatkan Syamsul dan Aaron.
Menurut ciapan Sharnaaz, mereka pelakon profesional dan tidak akan menarik diri daripada membintangi filem The Original Gangster hanya disebabkan konflik yang timbul.
“Nota buat semua yang ingin boikot filem Original Gangster atas sebab personal Syamsul Yusof, untuk menjayakan filem ini bukan sesuatu yang mudah. Banyak hati dan lelah yang telah dicurahkan.
“Ada anak dan isteri ditinggalkan. Kerja dalam bahaya dan buat stunt yang membahayakan. Kualiti yang diberikan oleh semua team dan pengarah adalah yang terbaik Malaysia pernah cipta.
“Bukan gangster yang cuba diangkat, tetapi kualiti daripada gambar, pencahayaan serta aksi-aksi yang besar dan di luar skala biasa filem Malaysia.
“Di sini, aku sebagai pelakon, bagus atau tidak. Itu letak tepi. Ini soal tanggungjawab. Berlakon di Malaysia tak mungkin ada rumah mahligai atau swimming pool besar padang bola tapi kami berkarya sebab minat dan rasa tanggungjawab.
“Jadi, fikirkan sejenak, tergamak kah? Anda kena ingat wahai sahabatku sayang, ramai lagi mulut dalam team ‘Original Gangster’ perlu disuap seperti anak-anak dan isteri.
“Jangan sebab amarah anda, dibunuh periuk nasi 60 orang lagi di belakang tabir ini,” katanya.