Shiha Zikir Fobia Naik Kapal Terbang – “Saya Takkan Makan Atau Minum…”

Penyanyi dan pengacara Shiha Zikir mendedahkan dia sanggup menolak tawaran kerja kerana enggan menaiki kapal terbang.

Memetik laporan Boom, dia bukan sahaja sengaja menolak rezeki tetapi gagal untuk mengawal ketakutan disebabkan penyakit ‘anxiety’ yang melampau.

“Jika ada program televisyen atau penggambaran drama yang melibatkan air, awal-awal saya akan tolak.

“Sekarang ini jika dapat tawaran, waima jauh mana sekali pun, saya sanggup naik kenderaan darat walau terpaksa tempuh jarak perjalanan berjam-jam lamanya.

“Naik kapal terbang seolah-olah mahu menggadai nyawa. Rasa macam nak mati!,” katanya.

Menurut Shiha, masalah tersebut semakin parah setelah sekian lama tidak menaiki kapal terbang akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Dulu saya kerap berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja. Orang luar nampak saya tenang saja, hakikatnya hanya Allah saja yang tahu.

“Tetapi syukurlah insan-insan terdekat dengan saya amat memahami permasalahan ini dan sering membantu sekiranya diserang panik.

“Kerana rasa takut, saya takkan makan atau minum, cuma tunggu masa mendarat saja. Sebab itu saya lega apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, tak perlu nak terbang ke mana-mana,” kata Shiha.

Susulan perkara itu, pelantun lagu AEWO ini menjelaskan punca ketakutan bukan sebab ketinggian sebaliknya dia pernah lemas sewaktu kecil.

“Bukannya takut mati kalau terhempas, tetapi saya fobia dengan laut. Pesawat akan terbang merentasi laut, itu yang buat saya takut,” ujarnya.

Sumber: Boom

Maya Basir