Simpan Hasrat Untuk Sambung Belajar, Hun Haqeem Mahu Dalami Bidang Psikologi

Pelakon Hun Haqeem menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda suatu hari nanti.

Biarpun sudah menceburi dunia lakonan sejak 2018, Hun mengakui pelajaran itu sangat penting bagi setiap individu.

Menurut Hun, dia berhasrat untuk menyambung pengajiannya dalam jurusan Psikologi walaupun terpaksa menangguhkan impian tersebut buat masa kini kerana kesibukan bekerja.

“Walaupun sibuk mengejar kerjaya, bagi saya belajar tu sangat penting. Alhamdulillah, saya dekat dalam industri ni saya memang bermula dari kosong.

“Jadi Alhamdulillah rezeki kita dapat jumpa pelakon-pelakon yang hebat untuk digandingkan bersama. Jadi buku yang kosong tu kita isikannya jadi penuh.

“Jadi konsepnya sama, kita belajar. Tapi kalau nak ikutkan saya sangat-sangat teringin untuk mendalami ilmu yang rasmi macam buat Degree in Psychology ke macam tu.

“InshaAllah, saya memang tengah usahakan untuk itu. Nak lah, walaupun nanti dah berusia 40 ke 50 tahun nanti. Saya memang akan sambung,” katanya.

Perkongsian tersebut telah didedahkan Hun ketika ditemui pada majlis sidang media Viu Upfront 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Khamis lalu.

Dalam pada itu, Hun turut meluahkan rasa terujanya dengan kehadiran ramai pelapis baharu dalam industri lakonan yang berbakat dan mempunyai rupa paras yang menarik.

Malah, pelakon itu juga sempat mengulas sedikit mengenai isu bakat dan rupa yang menjadi bualan dalam industri, kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kerjaya saya lebih-lebih lagi kita dah ada banyak bakat baru dalam industri lakonan tanah air. Alhamdulillah juga kebanyakan pelakon baru sekarang sangat berbakat.

“Tapi untuk mengulas isu bakat dan rupa tu saya tidak tahu nak bagi respons apa. Cuma, macam saya pernah cakap saya hanya akan cuba buat yang terbaik ketika berkarya. Mungkin dengan benda-benda tu orang kerap panggil saya bekerja,” jelasnya.

Fatin Nurain