Siti Nurhaliza Terharu Lihat Usaha Pasukan Kembalikan Senyuman Anak-Anak Yayasan Nurjiwa

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi rasa terharunya melihat usaha pasukannya menghiburkan kanak-kanak yang berpusat di Yayasan Nurjiwa, Gaza, Palestin.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Siti menerusi sebuah hantaran di Instagram, sebentar tadi.

Menurut Siti, pasukannya telah menyediakan aktiviti untuk menghilangkan rasa sedih yang tersisa dalam diri anak-anak yang kehilangan ibu bapa, keluarga dan tempat tinggal ini seketika.

“Terharu melihat usaha yang dibuat oleh team Yayasan Nurjiwa/Nurjiwa Foundation yang berusaha memberikan keceriaan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa, keluarga, rumah dan di tempat pelindungan ini, mereka menjadi keluarga besar.

“Team kami mengadakan permainan dan aktiviti supaya anak-anak ini dapat mengalih perhatian sejenak dengan situasi yang mereka hadapi dan berusaha apa sahaja yang terdaya untuk memberikan secebis sinar dalam keadaan genting di sana,” tulisnya.

Dalam pada itu, Siti turut memaklumkan bahawa segala proses edaran makanan dan barang bantuan dalam bentuk wang tunai serta pakai berjalan dengan lancar.

Namun, mereka masih mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air yang bersih.

“Menurut team kami, edaran selimut, makanan dan wang tunai masih dilakukan seperti biasa tetapi agak sukar untuk mendapatkan air dan sumber air bersih,” jelasnya.

Fatin Nurain