Berkongsi kisah persiapan Syawal, penyanyi Sufian Suhaimi bakal meraikannya di Mersing, Johor.
Di kesempatan itu juga, dia akan menggunakan ruang yang ada untuk berkunjung ke rumah saudara-mara.
Pelantun lagu Di Matamu memberitahu dia juga telah menyediakan sejumlah wang untuk diberikan kepada kanak-kanak.
“ Tahun ini, saya tak lupa menyediakan persalinan untuk keluarga namun persiapan serba sederhana. Baju raya dalam empat lima pasang saja.
“ Sebahagiannya pernah dipakai ketika saya menjayakan rakaman program khas raya.
“ Seronok rasanya apabila dapat membeli buah tangan sebagai kenangan buat keluarga tersayang,” katanya kepada BH Online.
Mengimbau memori manis beraya pada zaman kanak-kanak, Sufian berkata, dia masih ingat kenangan dirotan ibunya gara-gara mandi parit ketika pulang meraikan 1 Syawal di Mersing.
Sufian berkata, selepas selesai beraya dengan keluarga, dia bersama sepupunya berpakat untuk bermain di kawasan parit berdekatan ditemani beberapa rakan lain.
“Saya agak nakal ketika kanak-kanak. Saya dan sepupu buat hal apabila kami mandi di parit dengan baju Melayu yang baru sekali dipakai. Pada mulanya, kami hanya bermain-main di tebing, lama-kelamaan terus mandi.
“Malangnya keseronokan kami hanya sementara apabila ibu datang mengejut. Tidak semena-mena kami semua dirotan apabila baju baharu kami habis kotor,” katanya.