Categories: HiburanTrending

Sumbang Sebahagian Hasil Konsert, Ella Bantu Palestin Sedaya Termampu

Ratu Rock Ella menyalurkan sumbangan hasil jualan tiket konsert kepada tabung Cinta Gaza Malaysia (CGM) bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Israel.

Konsert Ella Jilid Akhir Puteri Kota Edisi Utara bakal berlangsung pada Sabtu hadapan.

Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, sumbangan yang diberikan itu untuk menunjukkan tanda sokongan dan solidariti yang menimpa nasib rakyat Palestin.

Memetik laporan Kosmo, kekejaman Zionis terhadap saudara sesama Islam di Gaza menjentik hatinya untuk turut membantu mereka.

“Kita semua sedia maklum dengan berita sedih yang sedang berlaku di bumi Palestin. Saya amat sedih dengan apa yang sedang terjadi.

“Seperti anda semua, terlalu perit untuk mengenangkan nasib mereka dan saya cuba membantu apa yang terdaya.

“Kami akan salurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert kepada tabung Cinta Gaza Malaysia bagi meringankan beban penduduk Gaza,” jelasnya menerusi perkongsian video dalam Instagram.

Pelantun lagu Kesal itu berharap agar menerusi konsert yang bertemakan Glam Rock Solidariti Palestin itu, orang ramai dapat menunjukkan sokongan, kebersamaan dan kasih sayang terhadap saudara kita di sana.

Untuk rekod, konsert Ella Jilid Akhir Puteri Kota Edisi Utara adalah siri jelajah ketiga selepas Kuala Lumpur dan Singapura

Syamir Shafie