Susah Cari Pekerja, Azharina Rehat Berniaga Ayam Bakar

Penyanyi Azharina Azhar mengaku terpaksa menutup perniagaan kepak ayam bakar buat sementara waktu selepas berdepan kesukaran mencari pekerja.

Kata Azharina ketika ditemui di majlis iftar & sumbangan duit raya anjuran Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), dia sedang mengusahakan mencari pekerja di kalangan rakyat tempatan.

“ Saya tidak mampu nak berniaga seorang diri. Perlukan pekerja tetapi atas beberapa masalah permit kerja saya terpaksa menghentikan perniagaan buat sementara waktu.

“ Namun begitu, kepak ayam bakar keluaran saya masih dijual di bazar festival Putrajaya sehingga 5 Jun ini,” katanya ketika ditemui di Petroleum Malaysia, semalam. 

Tahun lalu, Azharina membuka gerai kepak ayam bakar di sebuah restoran di Puchong. Selain juadah itu, gerai itu turut menyajikan satay.

Sementara itu, penyanyi berusia 34 tahun bercadang membuka kafe yang menghidangkan menu viral jualannya sebelum ini.

“ Hanya perancangan awal. Insha Allah jika ada rezeki dan pekerja tetap, saya mahu membuka sebuah kafe. Sayang sekali sebab terpaksa rehat sementara memandangkan ia memang sangat laku,” katanya.

Dalam pada itu, Azharina yang bakal mengadakan konsert pada 29 Jun ini di teater Shah Alam memberitahu persiapan telah hampir selesai sepenuhnya.

Konsert Azharina Queen Of Soul ini juga diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-18 pembabitan pelantun lagu Seandainya itu dalam industri nyanyian.

SGMS Faida