Tak Jangka Akan Menang, Anna Jobling Terharu Dinobat Pelakon Wanita Popular!

Pelakon jelita, Anna Jobling tidak menjangka bakal meraih trofi pelakon wanita popular dalam Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) menerusi drama rantaian Melur Untuk Firdaus.

Drama yang menjadi fenomena sehingga ke negara Indonesia itu juga memenangi kategori drama adaptasi novel terbaik pada malam anugerah tersebut.

“Saya tak jangka.. Kadang kala rasa macam tak akan menang sebarang anugerah. Tapi Alhamdulillah, ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, Anna berkata dia sangat selesa untuk bekerja dengan hero Melur Untuk Firdaus iaitu Meerqeen atas sikap profesional mereka.

“Bekerja dengan Meerqeen sangat senang sebab sebelum drama Melur Untuk Firdaus, kami pernah berganding sama. Sebagai pelakon, kami sangat komited dengan kerja, masing-masing profesional dan bekerja keras,” katanya.

Sementara itu, Anna turut menceritakan watak Melur dalam drama tersebut turut mempamerkan sisi sebenanrya.

“Ciri-ciri Melur ada yang sama dengan Anna. Bila baca skrip Melur saya rasa macam ‘oh ini diri saya’.., Jadi saya rasa senang untuk masuk dalam watak itu.

“Melur ini dia bukan heorin biasa. Dia adalah seorang wanita yang sangat kuat dan berdikari. Dia tak takut untuk menegur sekiranya ada masalah.

“Itu adalah diri saya juga. Kalau ada yang cari pasal dengan saya, saya akan tegur mereka secara baik,” jelasnya.

Anna berkata demikian ketika ditemui di sidang media Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) yang berlangsung di Putrajajya International Convention Centre (PICC) semalam.

Aqilah Paharuzi