Categories: Hiburan

Tak Kering Idea, Faizal Tahir Tampil Dengan Karya Terbaru, OK!

Penyanyi Faizal Tahir atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Muhammad Tahir, 45, muncul dengan single baharu berjudul OK.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Faizal dan Ezra Kong ini berniat memupuk semangat dan motivasi di dalam jiwa pendengar dengan menasihatkan agar jangan mudah putus asa dalam perjuangan hidup.

“Dunia ini penuh cabaran ditambah lagi ramai yang cuba menjatuhkan dan menyakiti kita menggunakan kata-kata. Namun tidak perlu kita terbawa emosi untuk membalas. Boleh jawab ‘no comment’ saja.

“Dalam masa sama, kekal tabah dan teruskan pencarian seperti seorang pendekar berdisiplin yang tak henti-henti memperbaiki dan memperkasakan dirinya,” kata Ezra.

Uniknya lagu OK ini apabila ia mengetengahkan elemen dikir barat di dalam rentak dan produksi moden sekali gus ia kedengaran jauh berbeza daripada kebanyakan karya Faizal sebelum ini.

“Dari awal pembabitan dalam bidang seni lagi saya sentiasa ingin mencuba benda baharu. Bagi saya, versatiliti itu penting. Dalam dunia seni, versatiliti membolehkan anda bereksperimentasi dengan pelbagai aspek kreativiti,” katanya.

Apa yang pasti, eleman muzik dan bunyi yang dipersembahkan dalam lagu OK seakan memberi isyarat yang mana muzik Faizal juga berubah secara perlahan-lahan.

“Ya, saya setuju. Faktor umur dan pengalaman banyak memainkan peranan,” katanya.

Sama seperti kebanyakan lagu sebelum ini antaranya Ragaman dan Santai, bait liriknya sarat dengan mesej berguna dan juga berunsur nasihat. Buktinya, penerimaan peminat terhadap karya sebegitu sangat bagus.

“Alhamdulillah. Itulah tanggungjawab saya sebagai anak seni. Apa yang paling penting adalah peringatan kepada diri sendiri terdahulu.

“Jadi, keunikan single ini juga adalah mesej yang ingin disampaikan. Muzik tetap muzik, kita boleh berikan pelbagai jenis yang sedap didengar, tetapi apa yang penting, mesej yang ingin disampaikan,” katanya.

Selepas lagu OK yang menerapkan eleman dikir barat, Faizal berkata dia masih belum lagi terfikir untuk mengetahkan muzik lain dalam karya lain selepas ini.

“Buat masa ni belum ada terfikir. Tapi jika ada lagu baharu selepas ini pastinya benda yang belum pernah saya buat. Saya ingin terus menerapkan elemen muzik tradisional atau nusantara di dalam lagu-lagu baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Faizal bakal menjayakan konsert solo pertamanya Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur pada 2 September ini di Dewan Merdeka, World Trade Centre pukul 8.30 malam.

“Insya-Allah, lagu OK ini akan saya nyanyikan pada konsert nanti. Lagu baharu lain pula tiada. Tapi akan ada lagu lama yang diberi nafas baharu,” katanya.

Lagu OK dilancarkan secara rasmi pada 11 Ogos lalu dan boleh didengar di semua platform muzik digital.

Padin