Tak Mahu Minta Maaf, Amelia Henderson Menangis Dilabel Degil & Sombong – “Saya Tak Pernah Bayangkan…”

Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson sedih apabila dilabel degil dan sombong oleh netizen gara-gara memilih untuk melawan kes saman dengan A. Aida Production Sdn Bhd.

Memetik laporan Harian Metro, selama 27 tahun membina karier, Amelia tidak pernah menduga akan berdepan kes mahkamah yang sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya.

“Saya tahu ada komen-komen netizen yang mendakwa saya degil, sombong dan sebagainya kerana membuat keputusan untuk terus perjuangkan kes ini yang memerlukan turun naik mahkamah.

“Kalau orang lain, saya rasa mungkin mereka tidak akan memilih jalan ini (tindakan undang-undang). Saya sendiri pun tak pernah membayangkan akan berdepan situasi ini.

“Bayangkan selama 27 tahun saya terbabit dalam industri ini sejak berusia 10 bulan, tempoh yang dilalui sangat lama. Jadi, tentulah saya sayangkan karier ini yang sepenuh jiwa saya serahkan,” katanya mengeluarkan air mata.

Meskipun terkesan dengan isu mahkamah yang dilaluinya, pelakon filem Pulau ini yakin rezeki datang daripada Tuhan.

“Saya memang ambil berat terhadap kerjaya seni saya. Apatah lagi, saya tahu saya tak buat apa-apa perkara yang boleh menghancurkan karier yang sudah saya bina seumur hidup ini.

“Apapun, saya tetap positif dengan memikirkan rezeki lain yang akan datang pasti ada sebab saya percaya urusan rezeki bukan di tangan manusia. Semua itu (rezeki) Tuhan tentukan,” ujarnya.

Terdahulu, Hakim Zulqarnain Hassan ketika menyampaikan keputusannya dalam talian berkata, mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan Amelia untuk menggantung perintah permohonan maaf kepada kepada A Aida menerusi syarikatnya A. Aida Production Sdn Bhd.

Selain itu, Zulqarnain turut membenarkan penangguhan bayaran melebihi RM200,000 itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Langgar Kontrak Produksi A. Aida, Amelia Henderson Berjaya Tangguh Permohonan Maaf & Bayaran Ganti Rugi RM200,000

Pada 7 April lalu, Zulqarnain memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A. Aida menerusi syarikatnya kerana didapati melanggar kontrak penggambaran drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Langgar Kontrak & Bayaran Ganti Rugi RM200,000, A. Aida Persoal Sikap Amelia Henderson – “Susah Sangat Ke Nak Mohon Maaf?”

Maya Basir