Tak Takut Dikecam Bawa Watak Jahat, Disiplin Alif Satar Sama Sebelum Bergelar Haji

Selebriti versatile, Alif Satar memberitahu tidak selektif memilih karya dan mengekalkan disiplin sama sebelum bergelar haji dalam memastikan kualiti dan kerjaya bergerak seiring.

Memetik laporan Utusan, proses memilih naskhah menunjukkan cara bekerja dan bagaimana seorang pelakon menjayakan watak yang diberikan dengan penuh yakin.

“Kalau nak cakap saya perlu selektif kerana bergelar haji, tidaklah. Cuma saya ada cara sendiri untuk melakonkan sesebuah watak. Saya juga ada disiplin tertentu dalam apa sahaja yang mahu dilakukan.

“Sekiranya ditawarkan watak jahat dan bagi saya itu satu cabaran, kenapa tidak? Kalau takut dikecam hanya kerana saya bergelar haji, itu bukan lakonan namanya. Seronok berlakon watak jahat.

“Ada peminat suka tengok saya bawa watak jahat. Berbeza daripada karakter sebelum ini. Memang ada yang terbawa-bawa, tetapi mereka tahu itu sekadar lakonan. Mereka tahu saya bukan begitu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Alif bakal muncul dalam filem Perjanjian Anak Syaitan 2 tidak lama lagi dan mengharapkan diberi peluang menjayakan watak yang selama ini diidamkan.

“Saya sepatutnya menjayakan sebuah filem aksi perang tetapi itulah, jadual tidak kena pula. Saya percaya kepada rezeki. Tak mahu paksa atau terlalu mahukan sesuatu.

“Saya dalam pada masa sama bangga dengan kualiti filem tempatan. Semakin hari semakin maju ke hadapan,” jelasnya.

Maya Basir