“Tak Tengok Jadual Terus Locked!”- Floor 88 Tak Sabar Kongsi Pentas Dengan Wali Band

Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham menyatakan rasa teruja untuk membuat konsert bersama kumpulan terkenal Indonesia, Wali Band di Zepp KL pada Sabtu ini.

Menurutnya, sebaik sahaja mendapat tahu tentang tawaran untuk berkolaborasi dengan kumpulan tersebut, mereka tidak berfikir panjang untuk menerimanya.

“Awalnya, manager kami hantar WhatsApp beritahu ada satu konsert ni nak colab dengan Wali Band, kami berenam-enam terus kata locked, terus kata ‘on’ walaupun tak tengok jadual lagi sama ada sibuk atau ada kerja lain pada hari itu.

“Sebab ini ada penghormatan terbesar buat kami bila dapat digandingkan dengan band dari negara seberang lebih-lebih lagi mereka pernah menjadi fenomena pada ketika dulu,” ujarnya.

Selain itu, Ayie turut memberitahu Floor 88 dan Wali Band mempunyai persamaan yang sama dari segi muzik menguatkan lagi keinginan mereka untuk berkolaborasi.

“Saya boleh katakan lagu Floor 88 dengan Wali Band lebih kurang sama, dari segi muzik, maksud lagu dan penceritaannya. Bezanya cuma satu di Malaysia dan satu lagi di Indonesia.

“Ini merupakan satu peluang yang kami tak akan lepaskan. Bila dapat berkolaborasi dengan artis luar negara, ia satu penghormatan buat kami,” katanya.

Sementara itu, dia mendedahkan pernah dilamar oleh sebuah syarikat untuk membuat konsert di Indonesia, namun disebabkan jadual kerja yang padat, Floor 88 terpaksa tolak.

“Floor 88 memang dah ada plan nak tembus ke pasaran Indonesia di mana masa lagu Hutang tengah viral dekat sana. Tapi malangnya jadual kami sangat-sangat padat.

“Jadi kami tangguh dulu projek nak ke sana. Sebelum ni memang ada satu company yang nak Floor 88 buat konsert dekat sana tapi kami terpaksa juga tolak secara baik,” jelasnya.

Maya Basir