‘Takdir Itu Milik Aku’ Buah Tangan Terbaharu Liza Hanim

Penyanyi Liza Hanim kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbarunya yang berjudul ‘Takdir Itu Milik Aku’.

Lagu yang mendapat sentuhan Siti Rosmizah ini merupakan runut bunyi rasmi (OST) sebuah drama yang berjudul ‘Takdir Itu Milik Aku’ yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Malah, lagu ini telah dikeluarkan di bawah syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia.

Menurut Liza, lagu tersebut berkisarkan tentang perjuangan dan pengorbanan seseorang yang pada akhirnya harus akur menerima takdir yang telah ditetapkan.

“Sebagai manusia biasa, kita diuji dengan pelbagai dugaan dan segala penderitaan dan pengorbanan adalah sebagian dari takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Akhirnya, kita harus menerima dan berserah kepada-Nya,” katanya.

Tambah Liza, dia tidak memerlukan masa lama untuk merakam lagu ini kerana melodi dan liriknya sangat memikat hatinya sejak awal lagi.

Malah, dia menyifatkan makna lagu ini mudah difahami dan boleh dikaitkan dengan para pendengar apabila mendengarnya.

“Saya memutuskan untuk merakam lagu ini kerana melodi dan liriknya sangat unik dan enak didengar. Bahagian chorus yang mudah dan catchy membuatkan saya mudah mengingati.

“Sekali gus, membuat lagu ini semakin istimewa buat saya. Meskipun ada berbagai cabaran dalam proses menghasilkan lagu ini, namun ia adalah hasil kerja yang sangat berbaloi” jelasnya.

Lagu ‘Takdir Itu Milik Aku’’ boleh dimuat turun di iTunes dan Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Fatin Nurain