“Takkan Nak Pukul? Itu Dayus” – Sedang Pujuk Isteri Berhijab Semula, Haqiem Rusli Percaya Hidayah Milik Allah

Isteri kepada penyanyi Haqiem Rusli iaitu Anis Sofea mengejutkan warganet apabila memuat naik foto tidak lagi bertudung pada Syawal pertama lalu dan menerima kritikan sehingga hari ini.

Susulan itu, memetik laporan mStar, Haqiem Rusli tampil menjelaskan situasi dan meminta orang ramai untuk tidak berkasar dengan isterinya dalam memberi nasihat.

“Setiap nasihat ada fasa, sama juga dengan komen. Nak menasihati itu semua saya dengan Sofea terima saja. Kami tak kata semua itu salah tapi apa yang saya nak maksudkan kat sini ada fasa-fasa dia. Maksudnya bercakap dengan baik.

“Boleh je DM ke… kalau yang kenalan rapat jangan cakap-cakap belakang, cakap straight to the point lebih baguslah,” katanya.

Walaubagaimanapun, Haqiem enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai punca isterinya tidak berhijab.

“Itu saya taknak jawab. Itu biar… sebab bagi saya itu P&C. Itu antara saya dan Sofea dan saya tak boleh nak jawab soalan itu, minta maaf.

“Saya minta korang doa yang baik-baik. Saya minta sangat janganlah korang menghukum seorang itu. Mungkin memang salah tidak dinafikan lagi tapi percayalah Hidayah itu milik Allah.

“Satu hari nanti saya percaya akan ada penambahbaikan kita takkan tahu. Janganlah cakap seolah-olah kami je pendosa dan jangan lupa mungkin yang bercakap dekat luar tu aib korang ditutup oleh Allah SWT dan mungkin kami dikenali ramai so agak berisiko tapi kami terimalah,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Mimpi ini mengakui bahawa dia memilih untuk menasihati isterinya dengan cara lembut dan dalam proses memujuk.

“Mungkin cara saya agak lembut. Takkan nak berkasar dengan isteri. Takkan kita nak pukul isteri, itu dah dayus. Takkan kita nak maki hamun.

“Kalaulah korang tahu, saya tengah proses memujuk, tengah proses untuk membaik pulih benda ini. Saya nak korang tahu itu je,” jelasnya lagi.

Sumber: Mstar

Atiqah Johari