Tampil Anggun Bertudung Labuh, Nadia Brian Syukur Terima Komen Positif Peminat – “Saya Memang Ke Arah Itu”

Pelakon Nadia Brian bersyukur dan terkejut apabila menerima banyak komen positif dalam kalangan netizen yang memuji penampilannya bertudung labuh.

Menurut Nadia atau nama penuhnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 32,  walaupun dia belum mengambil keputusan untuk memakai hijab sepenuhnya, namun dia berharap peminat sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya agar kekal dengan penampilan tersebut suatu hari nanti.

Malah, aktres ini juga mengakui, dia memasang niat untuk berubah ke arah kebaikan dan tampil dengan imej menutup aurat.

“Doakan saya yang baik-baik untuk ke arah itu insha-Allah. Tapi belum lagi sebab saya baru sahaja sign contrak untuk drama terbaru.

“Tapi doakan yang baik-baik, saya memang nak ke arah itu of course bukan kat mata manusia tapi untuk Allah. Doakan Nadia.

“Terima kasih banyak-banyak yang banyak menyokong dan mendoakan and of course saya menghargainya sangat-sangat . Doakan yang baik-baik untuk saya.

“Saya pakai tudung ni bukan nak buat orang ramai suka tapi apa yang saya buat ni adalah langkah pertama untuk saya belajar. Doakan saya yang baik-baik dan memang saya nak ke arah itu,” katanya.

Mengaku ramai peminat yang menghantar pesanan memuji penampilannya, Nadia bagaimanapun berterima kasih dan mohon semua peminat tidak putus mendoakan yang terbaik untuknya.

“Ramai yang kata dan bersyukur lihat penampilan saya begini. Dan terima kasih kerana sudi mesej dan beri kata-kata semangat untuk saya.

“Teruskan sahaja why not orang lain mendoakan yang baik-baik untuk kita,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Titian Takdir ini ada berkongsi bahawa dia kini telahpun menjadi sebahagian ahli  Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) bagi membantu golongan yang memerlukan terutamanya rakyat di negara bergolak.

“Sebenarnya itulah tujuan saya, kita sesama manusia kena bantu… sifat belas kasihan kita sesama manusia sangat penting.

“Kita ni Allah dah bagi semua nikmat jadi apa lah salahnya kita membantu dan saya akan beri sehabis baik  dari segi bantuan kemanusiaan.

“Kita dari MERCY akan buat kayuhan Gaza dan hasil sumbangan nanti akan disalurkan kepada Gaza,” ujarnya.

Terdahulu, Nadia mencuri perhatian warganet apabila hadir memakai jubah dan tudung labuh berwarna putih pada himpunan 10,000 solidariti Palestin yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) baru-baru ini.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin