Teater Tanah Airku, Mana Pergi Erma Fatima?

Kalau dilihat menerusi tiket dan poster teater Tanah Airku, pastinya peminat berasa teruja apabila tahu pelakon dan sutradara terkenal, Erma Fatima turut terlibat dalam pementasan kali ini. Namun, menyaksikan pembukaan pementasan teater tersebut pada malam tadi, kelibat pelakon yang popular menerusi drama siri popular Mak Cun ini nyata tidak kelihatan. 

Menyedari ianya bukan gimik, penerbit teater, Mei Fen Lim mengakui bahawa, Erma Fatima sebenarnya telah menarik diri daripada pementasan teater tersebut. Bukan kerana merajuk, tetapi beliau ingin membuka peluang dan ruang kepada pelakon baharu, Farah Ahmad dalam menggalas watak yang diberikan. 

“Jadual Erma yangh terlalu padat hingga sukar memberikan komitmen terhadap sesi latihan, maka dia sendiri menawarkan diri untuk berundur dan memberikan ruang kepada Farah Ahmad untuk menggalas peranan watak tersebut. Namun, Erma tetap memberikan sokongan yang tak berbelah-bahagi kepada produksi teater ini kerana turut memberikan sumbangan dana kepada teater Tanah Airku ini. Dan, memandangkan kami berdepan kekangan kewangan sehingga hampir mengundurkan diri tiga hari sebelum pementasan,  Erma tampil memberikan sumbangan dan pengorbanan itu sangat kami hargai.” Katanya

Teater Tanah Airku ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis dari Tanah Besar China ke Tanah Melau akibat perang saudara di negara beliau. 

Tanah Airku juga turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti, Aeril Zafrel, Izzue Islam, Angeline Tan, Nina Nadira  dan ramai lagi. Teater ini akan dipentaskan bermula 28 Ogos sehingga 1 September bertempat di Istana Budaya. 

Salma Syahbuddin