Teringat Bapa Di Hospital, Aman Nassim Sebak Di Hari Pernikahan

Dengan sekali lafaz, pelakon Abdul Rahman Nasim, 29, selamat bergelar suami kepada pensyarah ASWARA, Nor Baizura Abdul Ghani, 33, tepat jam 10.35 pagi, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abdul Ghani Ilyas disaksikan kaum keluarga dan rakan terdekat kedua pasangan.

Baizura menerima mas kahwin RM300, wang hantaran RM10,000, selain satu set barangan emas.

Sejurus selepas selamat akad nikah, Aman kelihatan tidak dapat menahan air mata kerana terkenangkan bapanya, Nasim Haron yang sedang tenat kerana kanser usus tahap 4 di Hospital Sultan Ismail, Johoh Bahru.

” Saya sebenarnya mengharapkan abah duduk di sebelah ketika akad nikah tapi apakan daya, saya hanya mampu merancang, Allah yang tentukan.

” Saya diberitahu, jantung abah terhenti seketika sebentar tadi, namun doktor berjaya memulihkan semula degupan jantung. Saya tak pasti berapa lama lagi abah sempat bertahan.

” Keadaan ini membuatkan hati saya bertambah tidak tenteram tapi tetap bersyukur majlis akad nikah dapat diadakan dengan sempurna walaupun sederhana,” kata Aman sebak.

Aman berkata majlis resepsi yang sepatutnya diadakan pada malam ini juga terpaksa ditangguhkan pada satu tarikh yang lain.

Sejurus selepas selesai majlis akad nikah di kediaman Baizura di Batu 10, Hulu Langat, pagi tadi, Aman dan isteri terus bergegas pulang ke Johor Bahru.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida