Teruja Dapat Gitar Sempena Hadiah ‘Birthday’, Netizen Akui Ariq Matin Warisi Bakat Lawak Seperti Shuib

Gelagat anak pelawak dan usahawan Shuib, Ariq Matin teruja menerima gitar elektrik sempena hadiah ulang tahun kelahirannya yang ketujuh baru-baru ini, mengundang tawa dalam kalangan netizen.

Menerusi hantaran di Instagram, Shuib telah memuat naik video anak ketiganya itu bersorak kegembiraan selepas membuka hadiah tersebut.

Malah, Shuib juga turut berkongsi perbualannya bersama anaknya itu yang mengakui gembira menyambut hari jadinya pada tahun ini sebagai kapsyen.

“Daddy: Matin,matin happy tak sambutan birthday Matin?

“Matin:Happy Daddy,Matin happy nom 1

“Daddy: Alhamdulillah I Love U Matin,” tulisnya.

Sebelum itu, Shuib juga telah menitipkan ucapan yang menyentuh perasaan buat anaknya itu dalam sebuah perkongsian di Instagram.

“Hari ini 20 Nov 2022, 7 Tahun lepas, Lahirnya seorang yang bernama Ariq Matin ❤️ Semoga jadi anak baik, anak soleh dunia dan akhirat. Anak manja daddy dan Ibu. @sitisarahraissuddin Anak kita semakin besar,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminatnya terhibur melihat gelagat Matin yang teruja mendapat gitar itu daripada bapanya.

Malah, perkongsian tersebut turut dihujani dengan doa agar si kecil itu terus menjadi anak yang soleh dan menyenangkan ibu bapanya.

Fatin Nurain