Thalia Mentor Bengang Facebook Kena Godam

Bekas peserta Mentor 4, Thalia terkejut selepas beberapa keping gambar lama yang memaparkan dirinya tanpa hijab tersebar di media sosial, baru-baru ini.

Thalia yang merupakan protege kepada Ziana Zain di program realiti berkenaan memberitahu dia kini mengambil langkah berjaga-jaga mengendalikan sosial media.

“ Sebenarnya sudah beberapa kali akaun Facebook saya digodam sebelum ini. Namun baru-baru ini saya terkejut ada individu tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar gambar lama saya ketika tidak berhijab.

“ Sudah tentu saya marah dan kecewa dengan tindakan yang tidak masuk akal itu. Apa motifnya berbuat demikian?,” katanya kepada XtRA.

Akui penyanyi berusia 32 tahun ini, dia mengambil pendekatan berhati-hati mengendalikan laman sosialnya selepas ini.

“ Ada rakan yang bekerja dalam bidang IT menyarankan agar menukar kata laluan akses ke sosial media setiap minggu. Itu lebih selamat.

“ Saya berharap agar pihak tersebut berhenti menceroboh laman sosial orang lain kerana ia melanggar hak privasi. Mujur saya tidak pernah memuatnaik sebarang foto keterlaluan dalam masa sama saya harap ‘mereka’ tidak godam lagi,” katanya yang enggan menuduh mana-mana pihak.

Dalam perkembangan lain, Thalia atau nama sebenarnya Ketty Natalia Rasul Khan kini sibuk mempromosikan single terbaharu berjudul ‘Diratah Hiba’.

Lagu ini merupakan ciptaan komposer Rosli Ahmad dan lirik oleh Andy Sulaiman.

Oleh: SGMS Enal

SGMS Faida