“Tiba-Tiba Rasa Peluh Sejuk…” – Kongsi Pengalaman Kena Serangan Jantung, Waheeda Lebih Ingat Hari Mati

Penyanyi Waheeda berkongsi pengalaman mengalami serangan jantung buat pertama kali.

Memetik laporan Harian Metro, gara-gara serangan jantung tersebut dia lebih mengingati kepada kematian.

“Selang sehari selepas arwah Kelly iaitu pemain bass terkenal meninggal dunia akibat serangan jantung, saya pula buat pertama kalinya diserang penyakit yang sama.

“Ketika itu saya sedang berseorangan di sebuah pusat membeli belah. Tiba-tiba rasa peluh sejuk dan saya sendiri tidak dapat hendak menggambarkan perasaan ketika itu.

“Ada rasa hendak muntah, rasa seperti hendak pitam namun saya kuatkan diri ke kereta. Tapi takut juga sekiranya saya pengsan atau tidak sedarkan diri dalam kereta dan orang tidak menyedari perkara itu.

“Namun ketika berdepan serangan jantung itu, saya juga sempat meminta nasihat sepupu yang juga seorang doktor.

“Katanya sekiranya berlaku lagi pada masa hadapan, saya tidak boleh lagi mendapatkan rawatan di klinik sebaliknya terus ke unit kecemasan di hospital,” katanya.

Selepas 15 tahun tidak aktif, Waheeda mengumumkan bakal membuat kemunculan semula dalam industri seni.

“Sepanjang tempoh 15 tahun menyepi, saya banyak mencari ilmu dan memahami al-Quran. Saya kembali aktif bukan sebagai penyanyi namun sebagai pemuzik.

“Cuma kenapa tempoh 15 tahun, saya tiada jawapan. Semuanya perancangan Allah SWT dan sebagai hambaNya, saya hanya mengikut apa yang sudah diaturkan,” ujarnya.

Maya Basir