Tiga Bulan Rangka Persiapan Konsert, Fourtwnty Akui Banyak ‘Berehat’

Kumpulan popular dengan muzik folknya, Fourtwnty mengaku siri jelajah konsert untuk album ketiga mereka berjudul Nalar mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan.

Namun, itu tidak menjadi masalah buat kumpulan yang terdiri dari lima orang anak muda ini memberikan kelainan dengan suasana yang sedikit berbeza dalam tour album mereka.

Malah, siri jelajah kali ini dianggap luar biasa bagi kumpulan Fourtwnty.

“Bercakap mengenai cabaran, kami suda mempersiapkan tour ini selama tiga bulan  dengan cara mengkaji semula persembahan-persembahan kami.

“Kami juga meneliti apa yang perlu diperbaiki dan apa perubahan yang perlu dibuat bagi memastikan konsert ini berjalan lancar selain kami memperbanyakkan berehat dan tidur secukupnya,” katanya.

Ari berkata demikian ketika ditemui XTRA  pada mini showcase yang diadakan di Sri Pentas, TV3 baru-baru ini.

Tambah Ari Lesmana selaku vokalis, siri jelajah kali ini dianggap luar biasa bagi kumpulan Fourtwnty, bahkan mereka sangat teruja untuk mengadakan konsert di empat negeri sempena album terbaru mereka Nalar yang membawa erti sederhana, selalu dan sentiasa.

Baginya, lagu-lagu dalam album kali ini mampu menjadi ubat kepada setiap masalah dan situasi yang dihadapi peminatnya.

“Nalar bermaksud ubat buat anda semua yang mungkin mempunyai masalah yang sukar untuk sembuh atau dikongsikan. Jadi dalam pengisian album kali ini kami sudah kumpulkan dan garap ia sebagai ubat buat anda semua,” jelasnya.

 

Selain itu, menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka, Fourtwnty mengaku berasa teruja walaupun ini sudah kali keempat mereka mengadakan konsert dan berkunjung di sini.

“Selalu excited kerana setiap kali datang ke sini terutama Kuala Lumpur ia sentiasa dekat dalam hati. Walaupun gementar sedikit tapi kami selalu perform dalam konsep yang baru dan itu menjadikan kami berdebar,” ujarnya.

Untuk rekod, Fourtwnty bakal mengadakan konsert pada 20 Oktober 2023 (Penang) dan 22 Oktober 2023 bertempat di Zepp, Kuala Lumpur.

Salma Syahbuddin