Tiko Pilihan Hati Bunga Citra Lestari, Bakal Nikah 2 Disember Di Bali

Penyanyi popular dari Indonesia, Bunga Citra Lestari dilaporkan bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang pernah digosipkan sebelum ini iaitu Tiko Wardhana.

Menurut sumber terdekat, disahkan majlis perkahwinan pasangan tersebut akan diadakan di sebuah hotel mewah di Bali, Indonesia.

“Memang benar BCL akan bernikah pada 2 Disember ini dan majlis akan diadakan di sebuah hotel mewah di Bali.

“Majlis perkahwinannya sangat eksklusif kerana difahamkan jumlah tetamu yang diundang tak ramai iaitu kurang 100 orang,” katanya.

Dikhabarkan, majlis pernikahan pelantun lagu Cinta Sejati itu turut disahkan ketua tempat tinggal BCL di Pejaten Barat, Asep Ahmad Umar.

Menurut Acep, BCL sudah menyerahkan dokumen berkaitan urusan pernikahan dengan jejaka yang bertugas di sebuah bank antarabangsa itu.

“Betul, BCL akan bernikah,” kata Acep seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Namun, Asep tidak berkongsi butiran lanjut tentang tarikh mahupun lokasi majlis pernikahan pasangan itu.

Sehingga kini, BCL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan pernikahan tersebut.

Untuk rekod, BCL pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.

Hasil perkahwinan pada 2008 itu, pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Noah, 12.

Sumber: Berita Harian

Maya Basir