Tolak Tawaran Berlakon Untuk Tampil Seksi Walau Bayaran Tinggi, Trisha Ooi Berpegang Teguh Dengan Prinsip

Pelakon, Trisha Ooi berpegang teguh kepada prinsip dalam bidang lakonannya untuk menjaga batas terutamanya dalam berpakaian seksi.

Malah, Trisha atau nama lengkapnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi berkata, dia tetap akan menolak tawaran sekiranya penampilan seksi tersebut melebihi batasannya, meskipun mendapat bayaran tinggi.

Trisha tidak menafikan dia mendapat banyak tawaran untuk tampil seksi, namun tawaran tersebut masih dalam perbincangan pihak pengurusan.

“Selepas membintangi filem Pagari Bulan, memang ada tawaran yang mahukan saya tampil seksi.

“Tawaran itu masih lagi dalam perbincangan sehingga ke hari ini, di mana sebelum saya terima, saya tak tahu watak yang ditawarkan itu perlu tampil seksi dan sebagainya.

“Jadi, saya minta masa untuk saya fikirkan dulu dan sekiranya ada cadangan yang boleh dirombak, kita teruskan. Kalau tidak, mungkin itu bukan rezeki saya,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Trisha berkata dia mempunyai batasan yang ditetapkan sekiranya perlu tampil seksi.

“Ada batasan yang saya tetapkan supaya tidak melebihi, jika terlebih mungkin saya akan tolak walaupun bayaran lumayan.

“Contohnya, kalau perlu berbikini, tak boleh. Begitu juga berpakaian yang menampakkan baju dalam dan adegan melampau,” tuturnya lagi.

Trisha berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan dan sesi ramah mesra bersama pelakon drama rantaian, Menanti Senja di Sentul, pada Selasa.

Bercerita mengenai drama Menanti Senja, sebagai pendatang baru falam industri seni Trisha meluahkan rasa terharu atas desempatan untuk digandingkan bersama pelakon-pelakon hebat seperti Johan As’ari, Khadijah Tan, Faizal Hussien dan lain-lain lagi.

Artikel Berkaitan: 3 Kali Olah Skrip Untuk Beri Impak! Menanti Senja Tampilkan Faizal Hussein, Sherie Merlis, Khatijah Tan.. Bakal Hangatkan Slot Samarinda

Aqilah Paharuzi