Tular Video Gaduh, Reza Hasbi Mohon Maaf…

“Saya memohon maaf kerana menularkan video pertengkaran dan perselisihan faham antara saya dengan pengawal keselamatan di Hospital Sungai Buloh tempoh hari,” luah pelakon Reza Hasbi, 30, susulan pergaduhan antaranya dengan seorang pengawal keselamatan yang berlaku di kawasan parkir hospital itu pada malam 16 Julai lalu.

Dalam kejadian yang berpunca daripada salah faham meletak kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan, pelakon filem Showdown itu bukan saja dimaki hamun, malah berlaku kejadian tumbuk menumbuk antara mereka.

Video pertengkaran mulut antara mereka berdua turut dimuat naik ke laman sosial Instagram milik Reza selepas kejadian.

“Assalamualaikum semua, saya, Mohamad Ridzuan Hasbullah dengan ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak sekuriti (pengawal keselamatan) Hospital Sungai Buloh kerana telah ‘menviralkan’ (menularkan) video pertengkaran dan perselisihan faham antara saya dan pengawal keselamatan, Encik AG Mohd Noh AG Samat.

“Saya memohon kemaafan kepada pihaknya kerana kekasaran bahasa semasa pertengkaran berlaku. Walaupun berlaku provokasi semasa kejadian, namun saya mengambil pendekatan untuk memohon maaf kerana dia juga sudah memohon kemaafan kepada saya di atas kekasaran sikap dan bahasa semasa kejadian berlaku,” tulis Reza di IG miliknya, tengahari tadi.

“Walaupun berlaku insiden tolak menolak semasa kejadian berlaku namun tiada pihak yang mengalami kecederaan dan mereka berdua bersetuju untuk berdamai dan menyelesaikan perkara ini secara baik.

“Saya berharap dengan permohonan maaf secara terbuka ini, perkara ini dapat diselesaikan secara baik antara saya dan AG Mohd Noh AG Samat,” katanya ringkas.

Oleh: Endy Ashaari

SGMS Faida