[VIDEO] Amelia Henderson Dedah Pernah Hilang Rakan Baik Gara-Gara Bukan Dari Keluarga Kaya  – “Saya Nampak Siapa Ikhlas Berkawan Dan…”

Pelakon jelita, Amelia Henderson mendedahkan dirinya pernah kehilangan rakan ketika di bangku sekolah hanya kerana perbezaan status dan kekayaan.

Amelia membuat pendedahan mengenai kisah peribadinya itu menerusi sebuah podcast miliknya iaitu Studio Sembang bersama tetamu, Hun Haqeem.

Menurut aktres Kisah Cinta Kita itu, dia dimasukkan ke sekolah antarabangsa yang sangat mahal oleh bapanya, Graham Henderson berketurunan Scotland.

Bercerita mengenai kehidupannya ketika itu, Amelia berkata mereka sekeluarga hidup dalam keadaan yang sangat bersahaja dan normal.. tidak mewah seperti rakan-rakannya yang lain.

“Kisah ni sangat peribadi. Dulu, saya pernah pergi ke sekolah antarabangsa yang sangat mahal untuk jangka masa yang sangat pendek dalam hidup saya. Sebenarnya keluarga saya tak dapat dari background financial yang sama macam pelajar lain dekat sekolah tu.

“Saya dapat rezeki untuk belajar di sekolah itu selama dua tahun je. Ayah saya yang nak hantar saya ke sekolah tu sebab dia nak saya ada education matsalleh. Masa tu saya macam alamak, tak mampu.

“Masa tu ibu saya bawa kereta wira, dan kami duduk di rumah teres.. kiranya sangat berserdahana dan hidup biasa. Saya pergi sekolah naik bas, dan rumah saya memang paling simple tiada swimming pool,” katanya.

Tiba satu hari, Amelia mengajak rakan baiknya datang ke rumah namun ternyata itulah pertemuan terakhir buat persahabatan mereka.

“Saya ada satu kawan yang saya ajak dia datang rumah untuk pertama kali dan dia adalah kawan baik saya dalam dunia. Pada masa tu atok saya sakit dan dia pindah ke Kuala Lumpur dari Klang.

“Rumah saya hanya ada tiga bilik. Jadi masa tu mak saudara saya ambil satu bilik, adik dengan bu saya satu bilik, dan saya ada bilik sendiri tapi atuk saya tidur.

“Saya ingat lagi kawan saya dia masuk dalam bilik saya yang kecik tu, dia pandang seluruh sudut bilik saya dengan expression terkejut. Dan selepas tu dia tak nak jadi kawan saya lagi,” dedahnya.

Bagaimanapun, pelakon yang juga model berkaliber ini bersyukur perkara tersebut terjadi di usia yang sangat muda menyebabkan dia kini mejadi lebih skeptikal dalam mempercayai orang.

“Tapi saya tak salahkan dia. Sebab dia membesar dalam background keluarga yang sangat berbeza. Dari situ kita akan nampak dia ikhlas nak berkawan dengan kita. Kalau dia judge kita yang luar dari kawalan kita, itu membuktikan dia betul nak kawan kita atau tak. Ini pengajaran yang paling dalam saya nampak di usia muda,” katanya lagi.

 

Aqilah Paharuzi