[VIDEO] Norman Hakim Jumpa Yusof Haslam, Anggap Ibarat Lepas Rindu Terhadap Seorang Ayah – “Banyak Luahan Kasih Yang Tersirat”

Perkongsian aktor Norman Hakim menjadi perhatian warganet di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Norman berkongsi sebuah rakaman video dia meluangkan masa bersama penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam.

Menurut Norman, dia akui merindui Yusof sekali gus menyifatkan pertemuan tersebut seolah-olah mengubat kerinduannya terhadap seorang ayah.

“Lillahita’ala saya sangat merindui susuk tubuh ini. Insan yang sangat berjasa terutama dalam perjalanan saya sebagai anak seni, tak lain tak bukan the one and only @datuk_yusofhaslam

“Banyak luahan kasih yang tersirat bila dah lama sangat tak berjumpa. Dalam masa yang sama umpama menumpang lepas rindu antara seorang anak pada seorang ayah (Al-Fatihah) dan mungkin sebaliknya dari seorang ayah pada seorang anak.

“Segalanya terzahir melalui sentuhan yang tersurat,” tulisnya.

Kongsi suami kepada pelakon Memey Suhaiza itu lagi, dia berharap insan yang menaikkan namanya dalam industri seni itu terus dilindungi dan sentiasa dirahmati.

“Alhamdulillah platform rakaman #HealingBersamaZizan jadi medan untuk kami menjalin semula ukhuwah & silaturrahim.

“4 jam rakaman diselang seli dengan sesi borak-borak ‘lepas rindu’. Topik yang agak ‘private & confidential’, kita orang lari jauh sikit takut orang dengar.

“Till we meet again in shaa Allah. I will always have your back.

“Mohon doakan insan yang banyak berjasa dalam hidup saya ni dikurniakan rahmat, lindungan dan kasih sayangNya dalam usianya yang bakal memasuki 70 tahun bulan April ini, In shaa Allah Aamiin Ya Rabb,” harapnya.

Terdahulu, bapa Norman, Allahyarham Zaidon Abdul Rahim menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kuantan pada Oktober tahun lalu.

Khairil Khusyairi