[VIDEO] Trending Di Twitter, Ramai Puas Hati ‘Ending’ Drama Rindu Kasih TV3 – “Suami Ugut Jatuh Talak, Isteri Terus Melangkah Jauh!”

Drama rantaian Rindu Kasih TV3 mendapat sambutan hangat daripada penonton yang teruja melihat gandingan hebat pelakon utama, Ummi Nazeera sebagai Salina dan Amir dibawa oleh Izzue Islam.

Malah, episode akhir drama arahan Pali Yahya sehingga kini masih menjadi perbualan penonton di media sosial yang memuji pengakhirannya amat berbeza serta menggambarkan perasaan dan keperitan seorang isteri.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, Ummi menerusi sebuah perkongsian di Instagram miliknya mengucapkan kata syukur dan terima kasih kepada semua penonton drama ini.

“Alhamdulillah! Berakhir sudah drama #rindukasih Terima kasih kerana setia hingga ke hujungnya. For now, bye Salina. Bahagialah awak bersama anak disisi. Mulakanlah hidup baru. Hargailah dirimu,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penyokong drama Rindu Kasih dan peminat Ummi memuji lakonan mantapnya yang dikatakan layak untuk memenangi anugerah pelakon wanita terbaik.

Dalam pada itu, ramai juga dalam kalangan pengikut Ummi yang berpuas hati dengan pengakhiran drama ini dimana menurut mereka dalam kehidupan realiti pihak isteri akan melakukan perkara sama.

Aqilah Paharuzi