Categories: HiburanTrending

Wali Band, Charly Setia & Fadhilah Intan Berjaya Pukau Peminat Pulau Pinang

Kumpulan Indonesia Wali Band dan Charly Setia Band berjaya menghiburkan peminat di Pulau Pinang ketika menjayakan Konsert Wali x Setia “Cari Jodoh” & “Dawai”, 18 Februari lalu.

Konsert anjuran Orange International itu turut menampilkan persembahan dari pelantun lagu Dawai, Fadhilah Intan serta beberapa penyanyi popular Malaysia seperti Saixse dan Khai Bahar.

“Pada mulanya, hanya Wali sahaja yang akan menjadi main act, tetapi seakan bulan jatuh ke riba apabila Charly Setia pula berminat untuk turut serta menjayakan konsert berkenaan, bonus tidak ternilai buat siapa yang menontonnya kerana kami menawarkan tiket pada harga yang sama,” kata Datuk Fadzli Idrus, selaku CEO & Pengasas Orange International.

Konsert yang bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang menyaksikan Wali mempersembahkan dalam 12 buah lagu hit mereka seperti Cari Jodoh, Ada Gajah Di Balik Batu, Si Udin Bertanya, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan lain-lain.

Terharu dengan sambutan yang diterima ketika konsert, vokalis Wali Band, Faank sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat mereka.

“Terima kasih buat semua peminat kami di Malaysia yang hadir menyaksikan Wali beraksi, kamu semua adalah yang terbaik!

“Kami sangat berbesar hati dapat menghiburkan anda semua dan ‘asyik’ dengan sing-along bersama-sama kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, Charly Setia pula sempat menyanyikan lagu-lagu popular mereka seperti Cinta Sampai Mati, Jangan Pernah Berubah dan Asmara, di antara lainnya.

Malah, Fadhilah Intan pula berjaya memukau penonton yang hadir menerusi lagu Dawai dan Bukan Cinta Biasa nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Lebih menarik lagi, konsert tersebut turut dimeriahkan oleh Saixse ketika menyampaikan lagu Malam Pagi, manakala Khai Bahar pula membawakan lagu Luluh, Bayang, Oh Wanita dan sebuah lagu bonus, Lemas.

Fatin Nurain