Media Prima Bhd, media bersepadu utama di Malaysia mencatatkan angka jutaan pengguna internet yang mengikuti liputan berita Media Prima sepanjang berlangsungnya Pilihanraya Umum Malaysia yang ke-14 (PRU14).
Menurut Google Analytics, dalam tempoh pilihan raya antara 6 April sehingga 13 Mei, menunjukkan portal berita Media Prima, termasuk SAYS, MyUndi, Harian Metro, BH (Berita Harian) dan New Straits Times, mencatat lebih 25.6 juta pelawat unik dan 296 juta paparan halaman.
Menurut Media Prima, 10 peratus daripada jumlah pelawat unik adalah dari luar Malaysia di sepanjang tempoh pilihan raya itu.
Pada 9 Mei dan 10 Mei saja, platform berita dalam talian MyUndi dan aplikasi mudah alih PRU14 daripada Media Prima Labs, mencatat 2.1 juta pelawat unik dengan 13.3 juta paparan halaman dalam tempoh yang sama.
MyUndi juga adalah carian Google teratas untuk hasil carian kata kunci “Undi” semasa musim pilihan raya itu.
Liputan video Media Prima bagi PRU14 mencatat sebanyak 22.3 juta tontonan di platform Facebook dan Youtube, serta melalui perkhidmatan strim video, tonton.
Media Prima berkata, jumlah pengunjung dan tontonan sepanjang tempoh pilihan raya adalah jauh lebih tinggi berbanding data bulanan kebiasaannya.