“Ya, Saya Sedang Berkawan Dengan Seseorang” – Sufian Suhaimi

Kerap diasak dengan soal peribadi, penyanyi dan usahawan Sufian Suhaimi tampil mendedahkan dirinya sedang mengenali seseorang.

Biarpun masih dalam fasa mengenal hati budi, Sufian menyatakan wanita tersebut berusia awal 20-an dan bakal menamatkan pengajian di peringkat ijazah di sebuah universiti.

“Ya, saya sedang berkawan dengan seseorang ketika ini. Jujurnya saya bukanlah orang yang suka berkongsi terlalu banyak mengenai kehidupan peribadi, tapi saya juga tidak berahsia.

“Kalau orang tanya saya jawab saja, cuma bukan itu yang saya kejar. Lagipun orang luar boleh bercakap apa saja nanti.

“Buat masa sekarang saya enggan terlalu menjaja cerita peribadi, tetapi apabila ditanya saya jawab dan mahu fokus kepada kerjaya seni dan bisnes,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, pelantun lagu Di Matamu itu bagaimanapun tetap tenang menjawab segala persoalan yang melibatkan soal peribadinya.

“Saya tak rimas pun dengan pertanyaan ini. Rasanya ini lumrah apabila orang nak tahu mengenai perkembangan seni dan peribadi saya.

“Malah saya bersyukur apabila masih ada orang nak tahu fasal saya. Cuma perancangan itu masih sama.

“Sudah tentu bila ada pasangan, kita tak mahu buang masa dan ada niat untuk sampai ke jenjang pelamin.

“Namun, saya tidaklah terlalu menyusun atau mengira untuk hari itu tiba. Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain