Yana Samsudin Tetap Dengan Pendirian?

Prinsip pelakon dan pengacara, Yana Samsudin enggan bersalam dengan lelaki mendapat pujian ramai kerana tindakan itu merupakan tuntutan agama. Meskipun begitu, Yana tidak menjadikan pujian tersebut sebagai satu perkara yang membanggakan dirinya.

Baru-baru ini, pengacara program CJ Wow Shop, Yana Samsudin memuat naik video dirinya menolak pelawaan bintang popular Running Man, Ji Suk Jin untuk bersalaman telah menjadi perhatian sehingga meraih lebih 300k tontonan, menerusi akaun Instagram beliau. 

Menurut bintang Adnan Sempit itu, perkongsian terbabit adalah sekadar untuk meluahkan rasa terujanya apabila dapat bertentang mata dengan bintang popular Korea tersebut.

 

“Saya tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak menerusi perkongsian yang dibuat, sebaliknya turut tumpang teruja apabila bintang Running Man, Ji Suk-jin dan Yang Se-chan menjadi ‘jurujual’ di rangkaian beli-belah inovatif menerusi pelbagai platform di rumah, CJ Wow Shop.

“Mereka berbuat demikian bersama dua lagi artis ternama K-pop, JeA daripada kumpulan Brown Eyed Girls dan Sung-jong (Infinate). Alang-alang ia menjadi viral, maka yang baik bolehlah dijadikan teladan, manakala yang buruk pula sebagai sempadan.

“Malah, ia adalah satu-satunya video yang dapat diambil kerana mereka dikawal ketat oleh pengawal keselamatan. Selain itu, saya juga sengaja mengenakan baju kurung bagi mendedahkan budaya kita kepada pihak luar,” katanya.

Empat artis Korea itu datang ke Malaysia bagi menjayakan cabaran menjual beberapa jenis barangan menerusi rancangan terbabit, antaranya Dr Dental Care, produk masker V-Care dan mi segera Spicy Samyang kepada penonton.

Barisan selebriti K-pop menjual barangan berkenaan dengan dibantu oleh pengacara CJ Wow Shop iaitu Zaim Helmi, Fiza Saad, Jimmy Shanley, Lily Liyana, Shinkong, Kah Chee dan Pauline.

Ditulis Oleh  :Nik Nur Amira

Ad Ops