“Setiap kematian merupakan satu tragedi kepada keluarga, rakan serta kenalan. Namun kejadian bunuh diri ini boleh dicegah. Kami menyeru kepada semua negara agar menubuhkan satu pelan strategi pencegahan ke dalam isu kesihatan negara dan program pendidikan yang bersesuaian,” ujar Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus.
WHO menyatakan bahawa kira-kira 800,000 orang mati membunuh diri setiap tahun, angka itu lebih tinggi daripada orang yang mati akibat malaria, kanser payudara, atau perang dan pembunuhan, ianya adalah salah satu “isu kesihatan global yang serius.” WHO turut memaklumkan bahawa hanya 38 buah negara sahaja yang mempunyai strategi pencegahan bagi isu ini.
Secara Keseluruhan, kaum lelaki mencatat kes bunuh diri yang lebih tinggi berbanding kaum wanita, WHO menyatakan, dengan 7.5 kematian akibat bunuh diri per 100,000 wanita dan 13.7 kematian akibat bunuh diri per 100,000 lelaki. Bangladesh, China, Lesotho, Maghribi dan Myanmar sahaja yang mencatatkan kes kematian bunuh diri yang membabitkan wanita lebih tinggi daripada lelaki.
“Sementara itu, 79% kes kematian bunuh diri di seluruh dunia dicatatkan berlaku di negara yang berpendapatan rendah dan negara yang berpendapatan sederhana, manakala negara yang berpendapatan tinggi pula mencatatkan kadar yang tinggi, iaitu sebanyak 11.5 per 100,000” orang, ujar WHO.
“Bunuh diri merupakan penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan golongan muda yang berusia 15-29 tahun, selepas kemalangan jalan raya. Diantara remaja yang berusia 15-19 tahun, bunuh diri adalah penyebab kematian yang kedua selepas (kematian semasa mengandung dan bersalin) manakala lelaki pula kemalangan dan keganasan.”
WHO menyatakan bahawa salah satu cara untuk mengurangkan kadar kes bunuh diri global adalah dengan menghadkan akses ke atas racun haiwan perosak dan senjata api kerana ianya adalah salah satu cara bunuh diri yang popular. Di Sri Lanka, langkah pengharaman penggunaan racun perosak telah berjaya menurunkan kes bunuh diri sebanyak 70%, dianggarkan sebanyak 93,000 nyawa berjaya diselamatkan dari tahun 1995 hingga 2015.
Langkah pencegahan lain yang dinyatakan oleh WHO pula ialah dengan mendidik media dalam melaporkan kejadian kes bunuh diri secara beretika, kenal pasti orang yang berisiko dan memberi bantuan terhadap golongan muda dalam menangani tekanan hidup.