Tular minggu lalu apabila kes kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan (Acap) masih menemui jalan buntu walaupun misi pencarian dan segala ikhtiar dijalankan. Terbaru, dua beradik yang menyertai aktiviti riadah di Bukit Pelindung, Kuantan dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kedua-dua mangsa iaitu Norfarah Hana Derahman, 22, dan kakaknya, Norul Baiyah Derahman, 29 memasuki trek hutan bukit berkenaan untuk beriadah pada pukul 5.30 petang.
“Bagaimanapun kedua-dua mereka gagal dihubungi oleh anggota keluarga selepas itu menyebabkan salah seorang daripada saudara mangsa membuat laporan polis tentang perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.
Ahli keluarga mangsa cuba menghubungi menerusi panggilan telefon dan Whatsapp namun lokasi kehilangan mereka dilaporkan tidak mempunyai liputan talian telefon.